Berita

PAS menang lebih banyak kerusi semasa bersama DAP – Tun M

Tun Dr Mahathir Mohamad hari ini menggelar PAS sebagai pengkhianat kerana didakwa berniat untuk membantu UMNO untuk mengekalkan kuasa di Putrajaya dalam pilihan raya umum (PRU) akan datang.

Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) itu berkata demikian mengulas hasrat Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang untuk partinya bertanding lebih 130 kerusi Parlimen.

“Hadi sendiri tahu sangat, kebanyakan kerusi (ingin ditandingi PAS) akan kalah. Tetapi dia hanya mahu membantu (Datuk Seri) Najib (Razak) untuk menang dengan memecahkan undi pembangkang.

“Itu sebenarnya niat dia (Hadi). Dan ia tidak bersifat Islamik, dalam Melayunya kita panggil dia pengkhianat,” ujarnya dalam sidang media di di Yayasan Kepimpinan Perdana, Putrajaya hari ini.

Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu turut mengingatkan mengenai sejarah PAS yang pernah memenangi hanya satu kerusi Parlimen kerana tidak bergabung dengan mana-mana parti pembangkang.

“Pernah sekali (dalam PRU) mereka (PAS) hanya menang satu kerusi. Ketika mereka sendiri (tanpa bergabung dengan parti pembangkang).

“Mereka hanya menang setelah mereka bersama DAP. Dengan DAP mereka menang 21 kerusi kemudian 27 kerusi,” tegas mantan perdana menteri paling lama berkhidmat itu.

Justeru, katanya, PAS akan lebih banyak mengalami kekalahan jika bersendirian berbanding bersama parti pembangkang lain.

“Jika mereka bersendiri mereka akan kalah. Tak kira 130 kerusi atau 1 juta kerusi pun yang mereka ingin tandingi, mereka mungkin akan kalah semuanya, tetapi parti itu sebenarnya membantu kawan baiknya, ‘kafir’ dari UMNO,” katanya.

Beliau merujuk ucapan Abdul Hadi lama dahulu yang pernah menggelar UMNO sebagai kafir. Namun kini semuanya sudah berubah, PAS setepatnya Abdul Hadi kini dilihat mesra bersama pemimpin utama UMNO yang juga Perdana Menteri, Najib Razak. – Roketkini.com.