Berita

Bekas bos SPR dakwa persempadanan semula cadangan bodoh

(Gambar Unit Media PPBM)

Mantan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman tidak menahan diri daripada menghambur kritikan keras terhadap langkah persempadanan semula yang kini sedang cuma dilakukan secara tergesa-gesa menjelang pilihanraya umum tidak lama lagi.

“Dia hendak benar persempadanan ni diluluskan. Saya kata ini cadangan yang sangat bodoh,” ujarnya ketika berucap di sidang media anjuran Institut Darul Ehsan (IDE) semalam.

“Kalau awak orang UMNO, saya kata jangan mimpi akan dapat semula Selangor. Awak tak akan dapat Selangor.

“Dia longgok Melayu 75%, 80% dia ingat Melayu bodoh sekarang. Melayu sudah dewasa, Melayu sudah cerdik, Melayu sudah tahu apa yang telah dilakukan,” tegasnya.

Beliau terlebih dahulu mengulas pembentangan proses persempadanan oleh Prof. Dato’ Dr Mohammad Redzuan Othman, yang menimbulkan banyak persoalan tentang bagaimana peta kawasan pilihanraya yang baharu kelihatan aneh sekali bentuknya.

Proses gerrymandering – melakar peta kawasan berasaskan kekuatan sokongan, yang dibentangkan semalam mengundang dakwaan bahawa ia kononnya telah dicadangkan oleh pemimpin UMNO di peringkat bahagian, dengan tujuan memecahkan daerah mengundi yang dikuasai parti lawan.

Namun Tan Sri Rashid kekal optimis dan tidak sedikit pun goyang dengan andaian bahawa tindakan tersebut akan memberi kelebihan kepada parti pemerintah.

“Saya pun diberitahu awal. Semua puak-puak UMNO ni buat. Bukan cerdik sangat yang buat pun. Dia longgokkan Melayu sama Melayu, Cina sama Cina, lepas ni MCA Gerakan habislah. DAP akan dapat semua kerusi ini.

“Kita alu-alukan DAP sapu licin semua kerusi ini, supaya kita bersama-sama DAP akan membuat perubahan di negara ini,” tambahnya. – Roketkini.com