Rencana

Pindah pengundi dan persempadanan semula, strategi ampuh UMNO menang PRU

Institut Darul Ehsan semalam membentangkan, apa yang saya kira sebagai resepi rahsia kemenangan United Malays National Organisation sepanjang enam dekad ia berkuasa. Sidang media pembentangan tersebut mengupas bagaimana UMNO, Barisan Nasional dan aparat parti pemerintah memenangi pilihanraya dengan manipulasi angka, daerah mengundi, dan melakar peta kawasan.

Resepi ini sebenarnya bukan lah rahsia sangat. Kita semua tahu bahawa UMNO-BN memang sentiasa muncul juara pilihanraya ekoran sistem pilihanraya yang turut sentiasa memihak kepada parti kerajaan.

Itu diakui sendiri oleh mantan pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Rashid Abdul Rahman yang juga hadir sama menyaksikan pembentangan oleh Prof. Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman.

Menurut Prof Redzuan, persempadanan semula adalah rahsia di sebalik kemenangan besar Barisan Nasional pada pilihanraya umum tahun 2004, sebaik sahaja Tun Abdullah Ahmad Badawi mengambil alih tampuk pemerintahan daripada mantan perdana menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Bukan sebab imej dia sebagai Mr Clean. Bukan sebab populariti,” tegas Prof Redzuan, yang sebelum ini mengepalai operasi di Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihanraya Universiti Malaya (UMCEDEL).

Persempadanan semula yang diadakan pada tahun 2003 menjamin kemenangan BN pimpinan Pak Lah pada PRU ke-11. Pada tahun itu, BN memperoleh 64% undi popular (sekitar 4.4 juta undi) dan memenangi 90% kerusi di Dewan Rakyat.

Sebelum itu, langkah persempadanan yang dilakukan pada tahun 1958, 1974, 1984 dan 1994 turut memberikan kemenangan besar kepada BN pada PRU 1959, 1974, 1986 dan 1995.

Sebenarnya BN tidak perlu jenuh berkempen pun. Selain mengawal media massa dan mengehadkan tempoh kempen singkat, dengan hanya mengatur dan memindah penyokongnya, BN boleh menang selesa. Pada tahun 2004 contohnya, tempoh kempen hanyalah 8 hari.

“Lepas penamaan calon baru boleh cetak poster, itu saja sudah makan tiga hari.

“Mula kempen hari keempat. Hari kelima hujan pula,” ujar Prof Redzuan memberi gambaran betapa sempitnya laluan demokrasi yang harus dilalui parti-parti pembangkang.

BN sebaliknya hanya perlu cetak poster dengan wajah pemimpin utamanya. Selesai masalah.

Namun adakah itu bermakna bahawa kerajaan pimpinan Datuk Seri Najib Razak akan menang bergaya dalam PRU ke-14 nanti?

Najib paling corot

Sebagai Perdana Menteri keenam, suami kepada Datin Seri Rosmah Mansor itu adalah satu-satunya PM yang mendapatkan keputusan undi popular paling teruk dalam penggal pertama pentadbirannya.

Najib hanya berhasil memperolehi 47.4% undi ketika PRU ke-13 yang lalu, pilihanraya pertama yang diterajuinya sejak mewarisi pentadbiran daripada Pak Lah.

Justeru, langkah persempadanan semula yang sedang disegerakan kini adalah tidak lain bertujuan untuk memperbaiki kedudukannya sebagai Perdana Menteri paling popular, barangkali menewaskan Tun Mahathir dan Tun Razak sendiri yang masing-masing mendapat 60% undi popular di penggal pertama pentadbiran mereka.

Apa yang sedang dilakukan SPR kini ialah memindah dan menukar daerah mengundi di beberapa kawasan, yang ‘kebetulan’ disandang parti pembangkang.

Parlimen Lumut, Perak contohnya menyaksikan bagaimana DUN Setiawan yang mempunyai 29,348 pengundi dengan lebih 21 ribu pengundi Cina dikeluarkan daripada kawasan Lumut dan dipindahkah ke kawasan Beruas, kerusi yang disandang DAP. Justeru mengecilkan tapak sokongan Parlimen Lumut yang disandang PKR, dan menurut simulasi berdasarkan PRU ke-13, memberikan kemenangan kepada BN dengan majoriti lebih 2,000 undi.

Majoriti semasa PKR di Lumut adalah lebih 8,000 undi.

Proses yang sama turut kedapatan di demikian banyak kawasan lain termasuk DUN Seri Serdang di Selangor yang menyaksikan kawasan yang dimenangi PAS dalam PRU ke-13 kelihatan bentuknya aneh sekali apabila beberapa daerah mengundi dikeluarkan dan dipindah ke DUN Kinrara.

Hadirin kerap kali menghela nafas melihat rupa peta kawasan yang sudah dikerat-kerat, sehinggakan ada kawasan DUN yang dikerat-cantum sehingga kelihatan seperti kuih keria atau ekor kala jengking. Memang langsung tidak masuk akal. (Lihat gambar) 

Proses kerat mengerat dan melonggokkan pengundi di kawasan mengikut kaum, ternyata merupakan tujuan besar Barisan Nasional untuk membentuk sebuah kerajaan yang majoritinya Melayu, dan barisan pembangkang yang majoritinya Cina.

Tidak hairan kenapa kita boleh melihat MCA dan Gerakan berbondong-bondong menghadiri siasatan SPR bagi membantah persempadanan semula yang mewujudkan polarisasi kaum yang semakin membawa penyakit kepada negara.

Ternyata MCA dan Gerakan tidak diminta memberi maklumbalas apabila proses melukis sempadan ini dilakukan oleh ketua-ketua bahagian UMNO sebelum diserahkan kepada SPR untuk tindakan selanjutnya.

Hal ini disahkan Tan Sri Rashid yang bingkas berucap seusai pembentangan IDE semalam.

“Saya pun diberitahu awal. Semua puak-puak UMNO ni buat. Bukan cerdik sangat yang buat pun. Dia longgokkan Melayu sama Melayu, Cina sama Cina, lepas ni MCA Gerakan habislah. DAP akan dapat semua kerusi ini.

“Kita alu-alukan DAP sapu licin semua kerusi ini, supaya kita bersama-sama DAP akan membuat perubahan di negara ini,” ujarnya yang kini berada di pihak Pakatan Harapan.

“Dia hendak benar persempadanan ni diluluskan. Saya kata ini cadangan yang sangat bodoh,” ujarnya.

“Kalau awak orang UMNO, saya kata jangan mimpi akan dapat semula Selangor. Awak tak akan dapat Selangor.”

Lakaran persempadanan semula ini ternyata sekadar lakaran di atas kertas. UMNO pastinya ingat bagaimana persempadanan semula yang memihak Pak Lah pada tahun 2004, turut membawa kehancuran pada PRU ke-12 pada Mac 2008.

Kalau UMNO lupa, maka sama-samalah kita ingatkan UMNO pada pilihanraya yang akan datang tidak berapa lama sahaja lagi. – Roketkini.com