Berita

Menteri Pengangkutan digesa minta Singapura turut mansuhkan kutipan tol

Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Liow Tiong Lai digesa supaya bertemu rakan sejawatnya di Singapura bagi membincangkan mengenai pemansuhan kutipan tol di pintu masuk Republik itu.

Adun Senai, Wong Shu Qi membuat gesaan itu susulan pemansuhan kutipan tol Lebuhraya Penyuraian Trafik Timur Johor (EDL) bermula 1 Januari tahun ini.

Berikutan pemansuhan berkenaan, tegasnya, kerajaan Singapura kini tidak mempunyai alasan untuk turut memansuhkan kutipan tol di pintu masuk negaranya.

“Lagipun kerajaan Singapura sering bertegas mahu menyelaraskan bayaran tol di Tambak Johor.

“Sudah tiba masanya untuk mereka memansuhkan juga bayaran SGD5.30 susulan pemansuhan tol EDL di negara ini,” ujarnya dalam kenyataan, hari ini.

Untuk rekod, menjadi amalan kerajaan Singapura untuk menyelaraskan bayaran tol jika berlaku kenaikan atau penurunan oleh kerajaan Malaysia.

Menurut Setiausaha Publisiti DAP Johor itu, rakyat amat kesal dengan tindakan berdiam diri kedua-dua negara dalam isu berkenaan.

“Saya amat berharap isu ini tidak berpanjangan memandangkan hari ini sudah masuk hari kelima tahun baru.

“Harapnya pemimpin kedua-dua negara dapat memberikan harapan baru kepada pengguna yang sering melalui sempadan,” ujarnya. – Roketkini.com