Berita

Lebih ramai wanita sebagai pembuat keputusan dalam kerajaan HARAPAN

Golongan wanita tidak akan dipinggirkan sebagai kumpulan pembuat keputusan dalam pentadbiran sebaliknya akan dilibatkan dengan lebih menyeluruh sekiranya Pakatan Harapan (HARAPAN) membentuk kerajaan pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Timbalan Ketua Wanita HARAPAN, Chong Eng berkata, sebagai sebuah gabungan politik yang baru, HARAPAN beriltizam meletakkan agenda pemerkasaan wanita sebagai keutamaan.

“BN telah terlalu lama memerintah sehingga tidak melihat agenda (memperkasakan) wanita sebagai sebuah keutamaan dalam politik.

“Tapi untuk kita HARAPAN, agenda wanita dalam politik menjadi keutamaan.

“Saya sudah 21 tahun dalam politik. Saya melihat terdapat banyak kekurangan dalam dasar untuk keluarga, kanak-kanak, golongan tua, mereka yang kurang bernasib baik dan (kurangnya) golongan minoriti seperti wanita sebagai pembuat keputusan kerana wakil wanita tidak mencukupi,” katanya ketika ditemui media di Konvensyen Pakatan Harapan 2018 di Shah Alam hari ini.

Menurutnya, HARAPAN komited bukan sahaja akan mengetengahkan lebih ramai golongan wanita dalam politik malah akan mengambilkira pandangan yang diberikan sesuai dengan perspektif wanita.

Ahli Parlimen Lembah Pantai, Nurul Izzah Anwar ketika ditemui berkata, HARAPAN memerlukan penglibatan wanita untuk menukar hala tuju dasar ekonomi Barisan Nasional (BN) yang semakin menekan.

“Dalam Pakatan Harapan; baik KeAdilan, Bersatu, Amanah dan DAP, kita mengutamakan agenda wanita kerana mahu tidak mahu, demi mengubah dan memperbaiki masa depan negara,

“Kita pinta mereka bersama kerana kita mahu mengiktiraf peranan wanita menerusi agenda ini.

“Saya berharap bukan sahaja kita mengorak langkah mengiktiraf peranan wanita kita juga mengajak semua wanita di Malaysia bersatu bersama untuk menumpaskan BN kerana mereka akan menjerumuskan masa depan wanita, anak-anak kita ke kancah yang lebih bermasalah,” katnya lagi.

Semalam, Wanita HARAPAN telah melancarkan tujuh agenda wanita Malaysia yang memberi tumpuan bagi menggerakkan masyarakat dalam usaha melahirkan wanita yang berdaya saing, celik politik dan ekonomi.

Menurut Ketua Wanita HARAPAN, Zuraida Kamaruddin, pelaksanaan agenda wanita itu meliputi pendemokrasian politik dan kepimpinan serta masa depan wanita muda dan ekonomi peduli wanita selain dasar pendidikan progresif.

Pada masa yang sama ia turut melibatkan agenda kesihatan mampan, keharmonian sosial dan pemberdayaan serta penguatkuasaan undang-undang.

“Apabila diberi kepercayaan memerintah Selangor dan Pulau Pinang, kita banyak melaksanakan inisiatif memberdaya kaum wanita antaranya penubuhan Pusat Wanita Berdaya Selangor dan Perbadanan Pembangunan Wanita Pulau Pinang.

“Malah, Institusi Wanita Berdaya Selangor turut ditubuhkan dan bertindak sebagai ‘think tank’ bagi menyambung wadah perjuangan wanita tetapi seluruh Malaysia,” katanya di Majlis Pelancaran Wanita Pakatan Harapan semalam di Kajang. – Roketkini.com