Berita

Tak masuk akal Mahathir ‘ulangi kesilapan lampau’ – Dr Aziz Bari

Tidak masuk akal Tun Dr Mahathir Mohamad mengulangi ‘kesilapan’ lalu kerana Pakatan Harapan (HARAPAN) memiliki budaya politik yang berbeza berbanding UMNO-BN kata tokoh perundangan Dr Abdul Aziz Bari.

“Sekarang beliau dikelilingi oleh watak dan kerangka yang berbeza; yang tidak mengizinkan kesilapan dalam UMNO berulang dengan mudah. Saya rasa perubahan akan dilakukan oleh PH di bawah kepimpinan Tun Mahathir.

Menurutnya, senarai tugas terkini dan yang bakal digalas bakal Perdana Menteri ketujuh itu akan melibatkan reformasi pentadbiran yang menjadi komitmen dan dasar yang diperjuangkan HARAPAN selama ini.

“Beliau ada senarai tugas yang baru yang kesemuanya bukan menguat atau memusatkan kuasa; sebaliknya meletakkan pelbagai kekangan ke atas kuasa termasuk had dua penggal.

“Tidak mudah untuk Tun Mahathir balik menjadi watak yang asal.

“Saya tidak fikir kebimbangan itu berasas kerana saya fikir beliau waras dan kewarasan itu menghalang untuk beliau balik kepada cara lama,” katanya dihubungi Roketkini.

Aziz berkata, faktor usia juga bukan penghalang kepada Mahathir untuk turut serta sebagai pemacu perubahan.

Malah, keberadaan Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) itu bersama HARAPAN juga dilihat mampu mempermudahkan peralihan kuasa di Putrajaya.

“Bukan soal hanya Tun yang boleh buat perubahan.

“Apa yang akan berlaku, peralihan kuasa dipermudahkan dengan keberadaan Tun dan selepas itu perubahan berlaku bersama pasukan yang beliau pimpin, HARAPAN,” kata Ahli Jawatankuasa DAP Selangor itu.

Katanya, agenda perubahan ini harus didokong oleh setiap penyokong dan kepimpinan parti dan bukan didasarkan kepada dendam dan sejarah lampau.

“Aktivis HARAPAN, aktivis Reformasi perlu bijaksana dan tidak dendam atau membuta tuli.

“Kita kena faham dan jelas mengenai fokus kita sekarang, bukan bicara soal masa lalu yang tidak ada gunanya,” katanya lagi. – Roketkini.com