Pakatan Harapan (HARAPAN) akan mengadakan siri jelajah di seluruh negeri setiap minggu sebagai persiapan menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU-14) yang dijangka berlangsung tidak lama lagi.
Pengerusi HARAPAN Tun Dr Mahathir Mohamad berkata jelajah itu akan disertai beliau yang juga calon perdana menteri dan calon timbalannya Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.
“Kita mempunyai 14 minggu sahaja (lagi) kalau kita anggap pilihan raya pada bulan Mei.
“Kita akan buat jelajah ke semua negeri tiap-tiap minggu dan akan disertai calon perdana menteri dan calon timbalan perdana menteri,” katanya dalam sidang media di Ibu Pejabat PPBM di Petaling Jaya, hari ini.
Ia antara perkara yang dibincangkan Majlis Presiden HARAPAN hari ini.
Isu lain yang dibincangkan mereka adalah mengenai persiapan berkempen.
Namun kata Dr Mahathir persiapan itu tergendala ekoran pendaftaran HARAPAN sehingga kini masih belum mendapat kata putus daripada Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (RoS).
“Kita tidak boleh tunggu lama kerana kita perlu berkempen.
“Kita tidak tahu kenapa sehingga sekarang ini kita tidak dimaklumkan sama ada permohonan kita untuk Pakatan Harapan dilulus ataupun tidak,” ujarnya.
Menurut Pengerusi PPBM itu, HARAPAN telah mengikut semua peraturan permohonan dan memperbetulkan masalah yang dibangkitkan RoS.
“Jadi kita hairan. Kita telah hantar dan mengikut semua peraturan. Kita telah jumpa dengan RoS sekali dua mereka berkata secara lisan masalahnya.
“(Mereka kata) ada masalah dengan PPBM, ada masalah dengan DAP dan sebagainya tetapi kita cuba betulkan, namun sehingga sekarang masih tidak ada jawapan apa-apa pun untuk permohonan kita,” katanya.
Mengenai pilihan raya, Dr Mahathir yang juga bekas perdana menteri keempat meminta kerajaan agar menjemput pihak luar sebagai pemerhati.
“Kami minta supaya jemput observer team dari negara asing untuk melihat pilihan raya kita. Tetapi ini perlu dibuat oleh kerajaan.
“Saya minta pada kerajaan membuat jemputan kepada komanwel, UN (Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu) dan sebagainya supaya hantar observer team ke Malaysia,” ujarnya. – Roketkini.com.