Berita

Aneh Parlimen bersidang sampai enam penggal, kata Mahathir

Pengerusi Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir Mohamad menyifatkan Parlimen yang akan bersidang buat kali keenam bermula 5 Mac hingga 5 April nanti sebagai aneh.

Ini kerana menurut beliau Parlimen kebiasaannya bersidang hanya selama lima penggal.

“Biasanya diadakan lima kali sesi parlimen. Tetapi kali ini kita akan ada enam kali.

“Ini juga kita nak tahu dari segi undang-undang (sama ada dibenarkan atau tidak),” ujarnya dalam sidang media di Ibu Pejabat PPBM di Petaling Jaya, hari ini.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijangka membubarkan Parlimen dan mengadakan pilihan raya selepas persidangan penggal keenam tamat.

Antara agenda utama persidangan tersebut adalah mengenai persempadan semula yang didakwa ramai pihak dibuat untuk memberi kemenangan selesa kepada Najib dan UMNO. – Roketkini.com