Berita

Skandal tanah Felda: SPRM, polis mesti siasat Najib Razak

Polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) perlu menyiasat penglibatan Datuk Seri Najib Razak dalam isu pertukaran hakmilik tanah Felda.

Ini kerana menurut Presiden Persatuan Anak Peneroka Felda Kebangsaan(ANAK) Mazlan Aliman dan Timbalan Ketua Pemuda Amanah Faiz Fadzil perdana menteri mempunyai bidang kuasa khusus berkaitan urusan aset agensi berkenaan.

“Perdana Menteri adalah menteri yang bertangungjawab ke atas Felda dan pelupusan aset Felda yang mana memerlukan kelulusan Perdana Menteri.

“Seksyen 3(3)(C) dan 3(3)(C)(a) Akta Pembangunan Tanah 1956 memerlukan Felda mendapatkan kelulusan menteri yang bertanggungjawab untuk memasuki apa apa perjanjian dengan pemaju, termasuklah projek usaha sama.

“Sepatutnya, pihak polis dan SPRM meneruskan siasatan yang bebas dan menyeluruh termasuk penglibatan Perdana Menteri Najib Razak,” kata mereka dalam kenyataan bersama.

Mereka berkata demikian mengulas kenyataan Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Samad yang mempertahankan Najib yang kononnya tidak tahu menahu bahawa tanah Felda ditukar hak milik.

Shahrir dalam sidang media semalam mengumumkan Felda mendapat kembali hak tanah di Jalan Semarak selepas ia dipindah milik kepada Synergy Promenade Sdn Bhd, pemaju projek Kuala Lumpur Vertical City, melalui transaksi meragukan sejak 2015.

Beliau turut menegaskan bahawa proses mendapatkan semula hak milik itu dibuat tanpa sebarang kos, namun bagi Mazlan dan Faiz ia menimbulkan persoalan yang lain.

“Persoalan yang timbul adakah benar-benar penyerahan semula hakmilik tanah tersebut dibuat tanpa sebarang balasan sedangkan Tan Sri Shahrir Samad sebelum ini mendakwa Felda tidak menerima bayaran RM270 juta untuk penjualan tanah tersebut.

“Ini adalah kerana adalah tidak logik untuk syarikat tersebut menyerahkan semula tanah tersebut tanpa sebarang balasan. Untuk apa mereka perlu menanggung kerugian sebanyak RM270 juta.

“Maka, persoalan seterusnya, siapakah sebenarnya yang menerima bayaran RM270 juta untuk pindah milik tanah Felda tersebut?” soal mereka.

Susulan itu kata mereka timbul persoalan sama ada ia ada berkait rapat pengumuman Shahrir bahawa projek Kuala Lumpur Vertical City akan diteruskan kerana berbeza dengan kenyataan yang dibuat beliau sebelum ini.

“Pengerusi Felda Tan Sri Shahrir Samad pada 21 Disember 2017 mengumumkan bahawa Lembaga Pengarah Felda yang bermesyuarat pada 15 Disember 2017 memutuskan untuk tidak lagi meneruskan projek Kuala Lumpur Vertical City.

“Namun, Tan Sri Shahrir Samad semalam menyatakan sebaliknya apabila bersetuju membenarkan syarikat tersebut meneruskan projek pembangunan tersebut,” ujar mereka.

Sehubungan itu polis dan SPRM kata mereka digesa supaya meneruskan siasatan berhubung isu pindah milik tanah tersebut kerana Shahrir sendiri mengakui bahawa ia meragukan.

“Mana-mana individu atau pihak pengurusan Felda yang telah melakukan perbuatan jenayah hendaklah didakwa memandangkan transaksi tersebut dicemari dengan unsur penipuan tidak dapat diketepikan.

“Penyerahan semula hakmilik tanah tersebut tidak membersihkan nama dan perbuatan jenayah mereka yang terlibat,” tegas mereka. – Roketkini.com