Berita

Mahathir dakwa ROS berniat jahat enggan jawab permohonan daftar Pakatan Harapan

Jabatan Pendaftar Pertubuhan (ROS) masih belum membuat sebarang keputusan mengenai permohonan Pakatan Harapan (HARAPAN) untuk didaftarkan sebagai sebuah gabungan. ROS malah tidak memberi perakuan menerima atau tidak surat daripada pihak HARAPAN.

“Ada unsur mala fide, niat tidak baik dalam tindakan Pendaftar tidak jawab permohonan kami,” jelas Pengerusi HARAPAN, Tun Dr Mahathir Mohamad dalam kenyataan di blognya.

“Perjumpaan dengan pendaftar dua kali tidak menghasilkan penjelasan rasmi. Kononnya ada masalah dengan DAP dan Parti Pribumi. Kenyataan juga dibuat oleh Pendaftar kepada orang ramai, tetapi tidak ada surat rasmi menjelaskan apa dianya masalah.

“Jawapan tertulis tidak pernah diterima dari Pendaftar. Hakikatnya ialah hingga sekarang selepas 7 bulan permohonan dibuat Pakatan Harapan tidak tahu apa kedudukannya,” ujar beliau.

Bekas perdana menteri itu berkata, tindakan ROS tersebut akan menguntungkan Barisan Nasional dan UMNO dalam pilihanraya yang bakal menjelang tiba.

“Parti memerlu masa yang panjang untuk memperkenal simbol dan gabungan kami kepada orang ramai. Jika kelulusan diberi setelah Parlimen dibubar, tidak ada masa bagi kami membuat persiapan.

“Rakyat perlu ambil perhatian terhadap tindakan Najib untuk menafikan hak rakyat memilih Kerajaan dalam pilihanraya mengikut Perlembagaan Negara,” tegasnya. – Roketkini.com