Berita

Penduduk kecewa BN abai aduan jambatan gantung runtuh di Sook

SOOK, 19 JAN: Penduduk kampung Kiulu Baru dekat sini menggesa kerajaan agar segera membina jambatan gantung baru berikutan jambatan sedia ada telah runtuh akibat banjir besar pada April tahun lalu.

Walaupun telah membuat aduan dan kenyataan akhbar, sehingga kini tiada tindakan mahupun usaha diambil Ahli Parlimen Pensiangan Tan Sri Joseph Kurup dan ADUN Sook Datuk Alleron Angin bagi menyelesaikan masalah berkenaan.

Akibat daripada masalah ini, penduduk sukar untuk memunggah hasil sawit dan getah, malah menyukarkan anak mereka untuk ke sekolah sehingga terpaksa menggunakan laluan alternatif dan memberanikan diri menggunakan jambatan yang telah roboh dan senget.

Menurut penduduk Harim Lubud, Alleron telah beberapa kali melihat sendiri keadaan jambatan tersebut sebelum banjir berlaku, malah berjanji akan membina sebuah jambatan yang baru.

“Kami sebagai penduduk menuntut janji yang dibuat oleh Alleron dan jangan sekali kali membuat janji kosong lagi pada pilihan raya yang akan datang kerana rakyat sudah bosan dengan janji-janji kosong daripada wakil rakyat yang hanya tahu berjanji,” tegasnya.

Katanya lagi, masalah jambatan ini pernah dibangkitkan dalam mesyuarat Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Kiulu Baru namun sehingga kini masih tiada tindakan susulan diambil.

Sehubungan itu, beliau sebagai wakil penduduk kampung berkenaan memohon agar pihak kerajaan dan wakil rakyat di kawasan ini memberikan perhatian terhadap rayuan dan kebajikan penduduk. – Roketkini.com