Berita

DAP Sabah hanya minta sedikit sahaja, perbincangan kerusi masih terbuka – Stephen Wong

Pengerusi DAP Sabah, Stephen Wong Tien Fatt berkata pihaknya sentiasa terbuka untuk sebarang perbincangan berhubung pembahagian kerusi parti-parti pembangkang tempatan khususnya Parti Warisan Sabah (WARISAN) pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

“Kami terbuka untuk perbincangan dan kami harap pembahagian kerusi ini boleh diselesaikan sedikit masa lagi dan terus mula beri tumpuan di kawasan yang telah kita setujui,” katanya ketika ditemui Roketkini.

Ahli Parlimen Sandakan itu menegaskan, rundingan ini perlulah berdasarkan prinsip adil dan toleransi bagi mengelakkan sebarang pertindihan.

“Saya harap semua ikhlas. Untuk tumbangkan BN kita kena ada give and take. Formulanya perlulah letak calon-calon yang paling ada potensi untuk menang dan dikenali,” ujar beliau.

Minggu lalu, Shafie dilapor mencadangkan supaya DAP supaya tidak meletakkan calon di kawasan pedalaman terutama di kawasan masyarakat Kadazan-Dusun-Murut sebaliknya kerusi-kerusi tersebut ditandingi oleh WARISAN.

Ahli Parlimen Semporna itu berkata, DAP hanya perlu memberi tumpuan kepada kubu kuatnya di kawasan-kawasan bandar.

Mengulas perkara itu, Stephen berkata kerusi berpotensi dimenangi DAP di pedalaman itu wajar dikekalkan memandangakan DAP gerak kerja aktif telah pun dilakukan sejak lima tahun lalu.

“Sudah tentu, kena ambil kira beberapa kerusi di pedalaman yang kita sudah mulakan gerak kerja sejak lima tahun lalu. DAP sudah pun amat dikenali di kawasan-kawasan ini.

“Banyak yang kita sudah laksanakan, antaranya projek-projek Impian Malaysia dan sekarang ini sudah beri impak kepada masyarakat.

“Tak adil kalau minta kita jangan bertanding di sana. Kita hanya minta tiga kerusi DUN pedalaman sahaja iaitu satu di dalam Parlimen Pensiangan, Tenom dan satu lagi di Keningau,” ujarnya.

DAP Sabah jelas Stephen hanya mahu meletakkan calon di 12 daripada 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) manakala lima calon daripada 25 kerusi Parlimen.

Menurut beliau, jumlah tersebut telah pun dikurangkan daripada 17 kerusi DUN kepada 12 manakala daripada tujuh kerusi Parlimen kepada lima kerusi.

“Kita faham, supaya agihan lebih serata dengan parti tempatan, kami sanggup untuk kurangkan lagi kepada lima (Parlimen) dan 12 (DUN), ini pun masih terbuka untuk diperbincangkan,” katanya.

Beliau turut membidas tohmahan sesetengah pihak yang mendakwa DAP ‘bongkak’ dalam isu pembahagian kerusi di Sabah.

“Kita tak sombong, daripada 73 kerusi DUN, kita hanya minta 12 sahaja. Daripada 25 (kerusi) Parlimen, kita hanya minta lima.

“Walaupun DAP parti kedua terbesar, tapi kita minta sedikit sahaja. Adakah ini sombong? Tidak. Kita hanya minta sedikit sahaja,” katanya lagi. -Roketkini.com