Rencana

Nak menang atau nak undi rosak?

Jika matlamat mengangkat Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri menjadi sasaran tunggal gerakan Reformasi, maka sia-sia sahajalah perjuangan yang diusung selama ini.

Andai melawan Mahathirisme menjadi sendi utama dalam gerakan siasah ini, maka sia-sia jugalah pengorbanan yang dibuat.

Matlamat menjatuhkan Najib Razak, UMNO dan BN bukanlah matlamat pokok. Itu hanyalah di antara cabang-cabangnya sahaja. Teras utama perjuangan yang disokong rakyat terbanyak adalah menuntut kebebasan.

Kebebasan dari belenggu kesusahan

Kos sara hidup yang tinggi yang membelenggu rakyat saban hari menjadi punca mengapa kebebasan tulen dituntut.

Graduan menganggur, ada yang baru mula kerja dikejar pinjaman PTPTN dan MARA, ada pula yang diberhentikan kerja akibat pengecilan kos operasi, ada yang terpaksa buat dua-tiga kerja hanya untuk menampung membeli pampers dan susu anak serta macam-macam lagi kesusahan akibat kegagalan tadbir urus ekonomi dan sikap boros pemerintah hari ini.

Hatta di kampung-kampung pun, melihat si ayah yang terpaksa berkira-kira membayar, membelek-belek beberapa keping duit ringgit yang sedikit di tangan hanya untuk membeli beberapa ketul ikan kembung di pasar pagi, mampu meruntun jiwa.

Pernah dalam siri ceramah yang saya sertai, beberapa keluarga menunggu sehingga lampu khemah ceramah ditutup untuk menghampiri kami bertujuan memohon ehsan membeli secupak-dua beras timbang.

Ada juga yang mendekati dan memberitahu, belum membayar yuran sekolah, belum ada kelengkapan alat tulis untuk anak-anak dan buku-buku latihan pun masih belum dibeli.

Tahukah kalian, ada yang sampai memetik daun-daun ulam untuk direbus buat lauk sekeluarga yang ada lima enam orang anak. Kuah rebusan ulam menjadi kuah, ulam yang direbus menjadi lauk.

Kegilaan apakah ini?

Siapa pembela mereka?

Mana pemimpin yang diamanahkan menjadi pembela mereka? Apakah tidak ada jalan lain membebaskan mereka daripada kesusahan yang mereka tidak minta ini?

Celakalah pemimpin yang sibuk dengan ketam yang mahal, melancong naik jet dengan anak-beranak serta suku-sakat dan hanya menyantuni pengundinya bila tiba musim pilihanraya sahaja.

Dan celaka juga mereka yang hanya seronok bergurindam mengajak ramai orang memboikot dan merosak kertas undi yang akhirnya memenangkan BN di kerusi kuasa.

Adakah jalan memboikot PRU14 dan merosakkan kertas undi idea paling pintar yang boleh kalian temukan? Jeritlah idea mengarut ini ke muka pakcik-pakcik tua yang hanya bergantung harap pada harga sekilo getah di luar musim hujan.

Beritahu mereka; “Pakcik, kami nak boikot pilihanraya ini, kami buat kempen undi rosak sebab Mahathir jadi calon perdana menteri dan bukan orang muda yang kami nak!”

Moga-moga pakcik-pakcik itu akan berasa lebih lega selepas mendengarnya.

Hanya seronok sorak bersambut

Tapi, itulah yang lucunya. Kalian cuma seronok bersorak di forum dan di media sosial sahaja. Mustahil kalian memikirkan kesusahan mereka yang miskin di kampung-kampung seperti yang saya ceritakan ini, kan?

Mustahil juga kalian tidur tak lena, risaukan bumbung rumah bocor yang akan membanjiri ruang tengah rumah seperti rumah-rumah mereka ini bila tiba musim hujan? Mustahil kalian memikir akan mereka ini, kan?

Saya sedar kalian ada tugas yang jauh lebih besar. Saya akui, melampias dendam yang terperosok dalam hati disebabkan Mahathir menjadi calon perdana menteri Pakatan Harapan adalah tugas penting kalian saat ini.

Malah, kempen memboikot dan merosak undi dek kerana calon muda idaman kalian tidak terpilih adalah jauh lebih mustahak daripada memikirkan kasut sekolah anak-anak orang kampung yang koyak-rabak sebab ayahnya tak berkemampuan membeli yang baru.

Peduli apa kan?

Lagipun memilih antara Mahathir dan Najib bukanlah perkara yang besar. Ia tidak memberi apa-apa kesan pun kepada orang-orang kampung tadi, bukan kah begitu?

Cita-cita yang kecil

Sedihnya, kalian sekadar mempunyai sebuah cita-cita kecil berbanding orang-orang kampung yang miskin yang saya temui.

Dengan linangan air mata tertumpah ke pipi tua yang berkedut, suara yang sangat perlahan, mereka benar-benar mengadu agar kita boleh membebaskan mereka dari belenggu kesusahan.

Inilah matlamat asal mereka yang duduk di dalam medan ini. Medan yang digelar pujangga sebagai lapangan untuk orang-orang yang berkeinginan berjuang.

Medan ini tidak cocok buat mereka yang mudah berputus asa dan lelah akalnya ketimbang dinamik politik yang bertembung dengan ideanya. Perjuangan besarnya ialah membebaskan mereka yang susah di kalangan kita. Bukan untuk sekerat-dua tokoh-tokoh yang dibenci atau yang mahu disanjungi.

Cukai yang membeban rakyat

Najib Razak memperkenalkan cukai GST dua tahun selepas kemenangannya dalam PRU13.

Kesan cukai regresif yang diperkenalkan telah mengakibatkan kita semua berada dalam keadaan seperti hari ini. Namun, Mahathir bukan membawa penawar ajaib.

Memilih beliau adalah simbol memulakan sesuatu yang bersifat radikal dan seperti tidak terjangka oleh lawan. Seni peperangan ini telah membawa Pakatan Harapan satu langkah di hadapan. Kalian boleh lihat sendiri hari ini, di mana-mana.

Ia sebuah langkah kecil yang sebenarnya membuka jalan untuk seribu langkah lagi. Menukar kerajaan pusat dengan memilih Pakatan Harapan adalah sebahagian daripada agenda perubahan untuk membantu mereka yang susah tadi.

Ya, memilih Pakatan Harapan belum menjamin semuanya akan menjadi baik dan pulih sekelip mata. Tidak ada jaminan seratus-peratus.

Tetapi, mengekalkan BN kita sudah boleh jamin apakah akibatnya nanti!

*Nor Miswary Ramli adalah Pengerusi DAP Cawangan USJ, Subang Jaya