Berita

‘Beg Plastik Percuma’ manifesto tak cerdik

Hasrat Barisan Nasional (BN) Selangor untuk memansuhkan caj beg plastik sebanyak 20 sen jika berjaya menawan negeri itu pada pilihan raya umum (PRU) akan datang dilihat tidak lebih sekadar gimik politik semata-mata.

Jika BN serius dengan cadangan tersebut, menurut Ahli Parlimen Segambut Lim Lip Eng, parti itu tidak perlu menunggu sehingga PRU kerana dengan segera boleh memulakan usaha serupa di Wilayah Persekutuan.

“Tidak masuk akal, mengapa BN perlu tunggu sehingga PRU?” soalnya dalam kenyataan, hari ini.

“Setiausaha Agung BN, Tengku Adnan yang juga Menteri Wilayah Persekutuan, boleh melaksanakan dengan segera manifesto BN tersebut dengan menarik semula larangan penggunaan bungkusan beg plastik dan polistirena di Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya,” tambahnya.

Malah, beliau yang juga Setiausaha DAP Wilayah Persekutuan berkata, BN turut boleh melaksanakan pemberian beg plastik secara percuma di semua cawangan Kedai Rakyat 1Malaysia 2.0 (KR1M 2.0) di seluruh negara jika benar-benar komited dengan janji berkenaan.

Ketua Penerangan BN Selangor, Datuk Satim Diman seperti dilaporkan media semalam berjanji mahu menghapuskan caj beg plastik sebanyak 20 sen jika berjaya merampas negeri itu pada PRU ke-14.

Untuk rekod, Pulau Pinang merupakan negeri pertama di negara ini yang melaksanakan dasar ‘Sifar Beg Plastik’ bermula 1 Januari 2011. Negeri Johor di bawah BN hanya melaksanakan dasar itu pada 1 Januari lepas.

Mengulas lanjut, menurut Lip Eng, kempen pengurangan penggunaan beg plastik adalah usaha global bagi membendung masalah alam sekitar.

“Justeru, adalah kurang cerdik untuk BN menawarkan ‘Beg Plastik Percuma’ sebagai salah satu janji dalam manifesto PRU mereka.

“Najib Razak perlu segera menjelaskan dan memberikan justifikasi terhadap idea dangkal berkenaan,” ujarnya. – Roketkini.com