Berita

Pakatan Harapan komited selesai masalah tanah Orang Asli, buka ruang dialog dua hala

Hasrat dan tuntutan masyarakat Orang Asli di Kelantan akan diketengahkan dalam manifesto Pakatan Harapan (HARAPAN).

Menurut Timbalan Pengerusi Pakatan Harapan (HARAPAN) Kelantan, Cikgu Wan Abdul Rahim Wan Abdullah, perkara terpenting ialah ruang perbincangan dua hala bersama masyarakat Orang Asli.

“Kita sedang mempersiapkan manifesto PH yang akan beri peluang kepada rakyat seluruhnya untuk fahami apa yang akan dilaksanakan jika dapat mandat sepenuhnya.

“Apa yang penting ialah buka ruang perbincangan dua hala seperti majlis seperti ini atau dialog.

“Sama ada kita di Kota Bharu atau di Kuala Betis ini, kerajaan perlu tahu apa sekatan-sekatan yang ada pada kerajaan negeri. Bila dikemukakan (tuntutan) kita akan memahami apa yang diperjuangakan,” kata Wan Rahim.

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis dialog dan penyerahan borang keahlian 230 masyarakat Orang Asli di Kampung Parik, Kuala Betis, Gua Musang semalam.

Permasalahan yang membelenggu masyarakat Orang Asli saat ini katanya disebabkan oleh wujudnya jurang yang luas berbanding masyarakat di bandar terutamanya dalam pendidikan.

“Saya sempat bersama kaum Temiar yang belajar di Kota Bahru tahun 60’an lalu. Saya nak menyatakan bahawa terlalu malang kerana sistem yang diamalkan dahulu – yang telah memberi ruang pendidikan kepada (masyarakat) pedalaman ini – tapi sistem itu tidak ada lagi. Amat malang.

“Seolah-olah ada satu jurang yang sukar. Apa yang saudara Nasir katakan tadi (tentang hak tanah adat) tak difahami oleh generasi yang ada di seluruh negara,” kata Cikgu Rahim.

Beliau berkata, kenyataan Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Mohd Nik Amar bahawa beliau tidak faham tentang masalah yang dihadapi masyarakat Orang Asli adalah salah satu dari contoh yang dapat dilihat.

Sebab itu ujarnya ruang perbincangan dialog perlu diteruskan supaya masing-masing boleh memahami hasrat dan cita-cita masyarakat Orang Asli.

“Kita nak ekosistem dikembalikan supaya kita boleh mewariskan sungai bukit bukau kepada generasi akan datang.

“Kita sedang bina harapan baru bagi generasi akan datang berdasarkan pengalaman,” katanya lagi. – Roketkini.com