Berita

Difitnah evangelis, mahu bentuk pemerintahan Cina, Kit Siang lapor ke SKMM

Lanjutan kepada dakwaan kononnya menerima dana daripada ‘Raja Gula’ Robert Kuok, fitnah terbaru terhadap Kit Siang ternyata kian melampau.

Beliau justeru hadir ke ibu pejabat Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia hari ini untuk membuat laporan terhadap blog The Third Force ekoran fitnah terbaru terhadapnya.

Membacakan laporan tersebut kepada media, Ketua Parlimen DAP itu memberitahu bahawa tulisan bertajuk  “Stop Lying, Kit Siang. You Got Paid By Robert Kuok” oleh penulis dengan nama pena Raggie Jessy menyenaraikan beberapa dakwaan palsu terhadapnya.

“Bahawa saya telah menerima pembiayaan daripada Robert Kuok. Bahawa pembiayaan selepas pilihan raya itu adalah berjumlah RM100 juta, yang disumbangkan sepanjang tempoh empat tahun.

“Bahawa saya adalah seorang ‘evangelis’ yang bertanggungjawab ke atas aktiviti sekumpulan ‘evangelis’ radikal, yang merencana aktiviti bagi mencetuskan perbalahan di antara orang Cina dan orang Islam.

“Bahawa saya, oleh kerana itu, adalah seorang yang anti-Muslim, anti-Islam dan merancang mewujudkan pemerintahan de facto Cina di Malaysia,” ujar Kit Siang, membaca teks laporannya.

Laporan tersebut bertepatan dengan peruntukan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia tentang penyebaran berita palsu.

Beliau ditemani Ahli Parlimen Segambut, Lim Lip Eng, Adun Kampung Tunku Lau Weng San, dan Ahli Majlis MPKj Young Syefura Othman.

Kit Siang turut menegaskan bahawa berita palsu adalah ancaman terbesar kepada keamanan, perpaduan dan kesejahteraan rakyat Malaysia kerana ia digunakan untuk melanjutkan kepentingan politik parti kerajaan.

Dalam sebuah forum semalam, Kit Siang terlebih dahulu memberitahu hadirin tentang dakwaan jahat blog terbabit.

“Mungkin saya sahaja dalam dunia ini yang boleh menjadi seorang evangelis, tanpa menganut agama Kristian,” ujarnya, disambut hilai tawa orang ramai.

Rakaman sidang media: https://www.facebook.com/DAPMalaysia/videos/10156084927259192/ – Roketkini.com