Berita

Fahaman radikal jejaskan imej Islam, mampu cetus pertelingkahan – Ustaz Wan Ji

Rakyat Malaysia khususnya yang beragama Islam negara ini diseru supaya menjauhi pemikiran radikal yang akhirnya mampu menggugat keamanan negara dan menjejaskan imej agama Islam.

Menurut Ustaz Wan Ji Wan Hussain antara bentuk pemikiran radikal yang diamalkan kumpulan pelampau agama seperti Taliban dan ISIS ialah melalui pendekatan keras dan jumud.

“Pendekatan Taliban dan ISIS menjadikan imej Islam semakin lama semakin ditakuti. Lebih-lebih lagi.

“Mereka mempunyai pendekatan yang keras dan suka berhukum berdasarkan kehendak mereka sahaja, menjadikan Islam sebagai agama Rahmat, telah bertukar persepsi sebagai agama keganasan,” katanya dalam satu muat naik status di laman sosial beliau.

Pegawai penerangan bagi Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang itu menjelaskan, modus operandi pendekatan Taliban dan IS pada permulaannya dilihat melalui tuduhan takfiri.

“Iaitu menuduh orang yang berbeza dengan mereka sebagai kafir atau munafik. Kemudian mereka menuduh musuh mereka sebagai anti Islam atau musuh Islam. Lebih berani, selepas itu mereka akan memfatwakan halal darah pula,” jelas Wan Ji.

Realitinya, kemenangan sebenar Islam adalah menjadikan manusia semakin mendekati Islam dan bukannya takut dengan Islam.

“Justeru pendekatan Taliban dan ISIS, Walaupun menggunakan alasan mahu membantu agama Islam dan menegakkan hukum Islam, tetapi hakikat mereka adalah menjauhkan dari kemenangan Islam,” katanya lagi.

Dalam kenyataannya sebelum ini, Wan Ji mengkritik beberapa pemimpin PAS yang membuta-tuli menyerang DAP dengan pelbagai tuduhan jahat mengaitkan parti itu kononnya sebagai anti-Islam.

“Pendekatan ISIS ini semakin kedengaran dalam kerangka politik di Malaysia. Mangsa tuduhan ini adalah rakan-rakan dari Parti Amanah Negara dan DAP.

“Lebih menakutkan, apabila pihak kerajaan, mahupun Jabatan Agama Islam dan institusi mufti, tidak pernah mengeluarkan sebarang pandangan ataupun kenyataan untuk membenteras amalan ini,” kata Wanji.

Beliau mengingatkan, sebarang perbezaan pandangan atau pendekatan dalam perkara yang melibatkan Islam tidak boleh sekali-kali dituduh kalangan yang berbeza Itu sebagai anti-Islam lebih-lebih lagi dalam kerangka demokrasi berperlembagaan.

“Contohnya, kritikan terhadap pengurusan Tabung Haji,  tidak bermakna itu mengkritik ibadat Haji. Begitujuga, apabila ada yang tidak bersetuju dengan pendekatan dilakukan oleh golongan yang menggunakan label Islam seperti PAS, tidak boleh dianggap sebagai anti Islam,” katanya.

Kesesatan pemikiran radikal ini jika gagal dibendung mampu mencetuskan gejala tidak sihat di Malaysia.

“Di Syria dan Iraq, apabila pendekatan Jabhah al-Nusrah berbeza dengan ISIS;  Walaupun Jabhah al-Nusrah itu dari kalangan Muslim, mereka telah dituduh oleh ISIS sebagai anti Islam.

“Lebih sadis, selepas itu ISIS menghalalkan darah kalangan Jabhah al-Nusrah,” katanya lagi menyeru institusi berkaitan memandang serius terhadap perkembangan negatif pemikiran takfiri yang mampu memporak perandakan negara dan umat Islam negara ini. – Roketkini.com