Berita

Pelabur puji kecekapan Kerajaan HARAPAN Pulau Pinang urus ekonomi

Keadaan ekonomi yang mencabar tidak menjejaskan kepercayaan pelabur di Pulau Pinang sehingga mencatatkan peningkatan pelaburan memberangsangkan sepanjang 10 tahun pentadbiran Kerajaan Pakatan Harapan (HARAPAN) negeri itu.

Menurut Ketua Menteri, Lim Guan Eng, walaupun merupakan negeri kedua terkecil di Malaysia, Pulau Pinang telah membuktikan kemampuan pelaburan di peringkat nasional pada angka sekitar 6 peratus iaitu peningkatan dari RM58.49 bilion kepada RM63.58 bilion tahun lalu.

“Pulau Pinang merekodkan peningkatan 150 peratus keseluruhannya dalam cadangan pelaburan modalnya tahun lalu pada RM10.8 bilion, berbanding RM4.29 bilion pada 2016.

“Sebanyak RM8.5 bilion pelaburan dicapai oleh Pulau Pinang tahun lalu, yang merupakan paling tinggi di negara ini,” katanya dalam sidang media di Komtar hari ini.

Guan Eng berkata, pelabur turut memuji Pulau Pinang kerana kestabilan politik, tadbir urus yang baik dan kemampuan kerajaan negeri untuk menangani pelbagai isu yang berbangkit.

“Pelabur berkata kami mempunyai pasukan yang kuat yang berkemampuan dan efisyen, dan sebab itu kita fokuskan kepada bakat.

“Pulau Pinang akan terus memngembangkan modal insan terutama dalam bidang sains, teknologi, matematik dan kejuruteraan,” katanya.

Setiausaha Agung DAP itu mendedahkan pertumbuhan ekonomi Pulau Pinang bagi tempoh 10 tahun sebelum ini sejak kerajaan Pakatan mengambil alih pentadbiran negeri.

Katanya, jumlah keseluruhan pelaburan dari 1998 hingga 2007 adalah RM36.855 bilion dengan mencatat mencatat pertumbuhan berjumlah RM70 bilion bermula dari 2008 sehingga 2017.

Peluang pekerjaan juga jelasnya turut mencatatkan peningkatan daripada 132,422 (1998 hingga 2007) kepada 150,245 dari 2008 hingga September 2017. – Roketkini.com