Berita

DAP umum Liew Chin Tong calon Ayer Hitam, Anthony Loke kekal pertahan Seremban

Bertepatan dengan ulangtahun ke-52 Parti Tindakan Demokratik (DAP), ia semalam mengumumkan calon-calon bagi kerusi Parlimen Ayer Hitam dan Seremban sebagai buah mula kempen Pilihanraya Umum ke-14 tidak lama lagi.

Ahli Parlimen Kluang, Liew Chin Tong, diumumkan semalam bakal bertarung di kerusi Parlimen Ayer Hitam, manakala Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke, kekal mempertahankan kerusi Parlimen Seremban.

Chin Tong yang juga Pengerusi DAP Johor, diumumkan sebagai calon Ayer Hitam oleh Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng dalam acara gilang gemilang di kawasan yang disandang menteri MCA, Wee Ka Siong.

Pada PRU yang lalu, Wee yang juga Timbalan Presiden MCA, memenangi kawasan tersebut apabila menewaskan calon PAS, Hu Pang Chau dengan majoriti lebih tujuh ribu undi.

Chin Tong sebelum ini mencatatkan rekod menang besar di Parlimen Bukit Bendera pada PRU Mac 2008, dan kemudian menang di Kluang pada PRU ke-13 yang lalu.

“Saudara Liew Chin Tong adalah antara pemimpin pelapis dan masa depan DAP.

“Kita hantar ke kawasan kubu kuat UMNO dan Barisan Nasional,” ujar Guan Eng menjulang tangan calon pertama yang diumumkan DAP itu.

“Kita sangat bimbang, tetapi kita menaruh kepercayaan kepada rakyat Ayer Hitam dan Johor yang mahukan perubahan, yang mahu matikan GST, yang mahu (Pakatan) Harapan menang!” kata beliau yang juga Ketua Menteri Pulau Pinang.

Ayer Hitam adalah kawasan Parlimen majoriti Melayu, yang terbahagi kepada dua kawasan DUN iaitu Yong Peng yang disandang Adun DAP, Chew Peck Chew; dan Semarang yang dimenangi UMNO.

Langkah meletakkan Chin Tong di kawasan majoriti Melayu, secara berkesan mematahkan dakwaan bahawa DAP hanya meletakkan calonnya di kawasan majoriti Cina atau kawasan campuran sahaja.

Tawan Negeri Sembilan

Enam jam selepas mengumumkan calon pertamanya di Johor, Guan Eng kemudian mengumumkan Anthony Loke sebagai calon DAP bagi mempertahankan kawasan Parlimen Seremban, manakala Sdr Arul Kumar diumum mempertahankan DUN Nilai.

“Saya mengumumkan calon DAP untuk P128, Seremban adalah Pengerusi DAP Negeri Sembilan, Sdr Anthony Loke.

“Pada masa yang sama, kerana saya boleh lihat beliau telah memberikan perkhidmatan yang baik, telah bersama-sama dengan rakyat, beliau telah bekerja keras tanpa mengira masa, saya juga nak umumkan calon N10, Nilai, Sdr Arul,” umum Guan Eng disambut tepukan gemuruh hadirin di majlis pelancaran bilik gerakan Parlimen Seremban.

Anthony menewaskan calon BN, dua calon bebas dan seorang lagi calon Berjasa pada PRU 2013 dengan majoriti 12,553 undi.

DAP dijangka akan terus mengumumkan calon-calonnya di beberapa kawasan utama pada setiap minggu sehingga Parlimen dibubarkan pada bila-bila masa sahaja sekarang. – Roketkini.com