Berita

‘Pelan-pelan lah’ kata Tun Mahathir, kasihan Najib tak lena tidur

Tindakan kerajaan pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang masih tidak meluluskan pendaftaran gabungan Pakatan Harapan adalah isyarat bahawa ia sedang berada dalam keadaan takut yang amat sangat.

Malah, menurut Pengerusi HARAPAN, Tun Dr Mahathir Mohamad, wujud cubaan untuk membatalkan pendaftaran Parti Pribumi Bersatu Malaysia.

“Inilah tanda-tanda bahawa Najib bukan sahaja takut, tetapi berkeinginan untuk menipu dalam pilihanraya,” ujarnya kepada media selepas majlis sambutan ulangtahun ke-52 DAP di Ayer Hitam semalam.

“Kalau kita lihat sentimen yang ditunjukkan oleh rakyat. Adalah jelas bahawa rakyat ingin tukar kerajaan.

“Tetapi Najib akan tipu sepanjang masa,” tegas mantan perdana menteri keempat itu.

Menurut beliau langkah-langkah penipuan yang bakal dilaksanakan termasuklah menyusun semula daftar pemilih, persempadanan semula kawasan pilihanraya, membeli undi dengan wang ringgit, dan membuat ugutan terhadap rakyat.

Ayer Hitam akan jadi seperti Gelang Patah

Menjawab pertanyaan media, Dr Mahathir memberitahu bahawa belum ada keputusan untuk menggunakan logo parti apa sekiranya kerajaan bertindak menafikan pendaftaran HARAPAN ataupun membatalkan pendaftaran PPBM.

“Belum lagi lah… ‘man man aa’ (perlahan-lahan la),” katanya kepada wartawan berketurunan tionghua tersebut, disambut hilai tawa pimpinan HARAPAN.

Ditanya sama ada Ayer Hitam akan jadi seperti Gelang Patah dalam PRU yang lalu, Mahathir tidak menolak kemungkinan terbabit, malah memberi bayangan bahawa hal tersebut mungkin terjadi.

“Awak tahu apa terjadi di Gelang Patah? Ia akan terjadi di Ayer Hitam,” ujar beliau sambil menambah bahawa calon-calon akan diumumkan apabila tiba masanya.

“Kita taknak Najib terlalu sakit, sampai takut, tidur tak lena.”

Kawasan Parlimen Gelang Patah dimenangi Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang pada pilihanraya lalu, menewaskan bekas menteri besar Johor, Abdul Ghani Othman.

Mahathir yang ketika itu masih bersama UMNO dilaporkan berkata bahawa Gelang Patah bakal menjadi ‘kubur’ bagi kerja politik Kit Siang.

“Kita perlu memastikan dia (Lim) kalah di Johor. Johor akan terus menjadi simpanan tetap BN,” katanya dilaporkan media pada April 2013.

Kit Siang menang dengan majoriti 14,762 undi. Tun Dr Mahathir kini mempengerusikan gabungan parti-parti pembangkang, dalam rangka menewaskan UMNO-BN dalam PRU ke-14 tidak lama lagi. – Roketkini.com