Berita

DAP sedia berdepan BN tanpa mengira demografi kaum

Dakwaan DAP hanya bertanding di kerusi yang didominasi kaum tertentu sahaja adalah tidak benar, malah ia bersedia untuk berdepan dengan mana-mana komponen Barisan Nasional (BN).

Pun begitu Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong menegaskan, ia tertakluk kepada keputusan agihan kerusi di peringkat nasional.

“Kami hanya diberikan kerusi milik MCA, Gerakan atau MIC. Kami terkekang dengan rundingan kerusi dan kami akan bertanding di kerusi yang diberikan,” kata Chin Tong seperti dlapor The Malaysian Insight.

Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke pula menganggap dakwaan sedemikian tidak berasas memandangkan banyak kerusi yang ditandingi DAP merupakan kerusi campuran pelbagai kaum.

“Kerusi MCA yang kami tandingi pun, bukan semua kerusi majoriti Cina, kerana kebanyakannya kerusi campuran. Contoh terbaik ialah Ayer Hitam, kerana kawasan ini mempunyai lebih 50 peratus pengundi Melayu,” kata Ahli parlimen Seremban itu.

Menurutnya, dakwaan itu tidak wajar timbul kerana walaupun MCA misalnya mungkin menjadi pesaing DAP, tetapi latar belakang pengundi adalah pelbagai kaum.

“Tidak timbul isu kami mahu menewaskan pemimpin Cina atau menjadi parti perkauman,” katanya.

DAP juga ujarnya memiliki ramai wakil-wakil rakyat India dan Melayu malah dalam PRU14 kali ini parti akan membariskan lebih ramai calon-calon Melayu.

“Kami ada calon Melayu, India, Kadazan dan Iban juga. Mungkin ada lebih ramai calon Cina tetapi keseluruhan barisan calon adalah pelbagai bangsa.

“Senarai calon Melayu kami juga bertambah. Kami boleh tempatkan calon Melayu, tetapi perlu juga melihat kesesuaian dengan kawasan berkenaan, strategi dan kemampuan calon,” katanya lagi.

Dakwaan DAP hanya tertumpu untuk menentang MCA atau kawasan yang didominasi sesebuah kaum sahaja tidak tepat kerana jelas Anthony, DAP juga bersedia untuk menentang parti-parti komponen BN yang lain di Sabah dan Sarawak. – Roketkini.com