Berita

Aksi samseng bukan cara tangani fitnah, ADUN DAP tegur MB N. Sembilan

Lagak samseng Menteri Besar Negeri Sembilan Datuk Seri Mohamad Hassan ketika melancarkan jentera pilihan raya Pemuda BN Rembau mendapat kecaman pelbagai pihak yang menyifatkan tindakan itu sebagai melampau dan provokasi menjelang Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Dalam video ucapannya yang tular di media sosial, Mohamad seolah-olah ‘menghalalkan’ kelakuan samseng di kalangan ahli-ahlinya apabila memberi arahan ‘terbalikkan meja’ di “kedai kopi yang menjadi sarang memfitnah kerajaan”.

“Gempur kedai kopi tersebut, ganyang dia, terbalikkan meja dia. Kena tangkap dengan polis, saya jamin. Jangan bagi muka dengan pembangkang, hentam pembangkang,” katanya.

Kesal dengan kenyataan itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Nilai, Arul Kumar Jambunathan berkata sebagai ketua kerajaan, Mohamad perlu menunjukkan tauladan yang baik dan bersaing secara sihat di atas landasan demokrasi yang dibenarkan undang-undang negara.

“Kalau ada yang buat fitnah, buatlah laporan polis, heret ke mahkamah. Tapi nampaknya tidak. Dia pula sebagai ketua kerajaan membenarkan penyokongnya bertindak agresif dan samseng.

“Kita tahu sekarang ini musim pilihan raya, semua parti nak menang. Tetapi kenyataan-kenyataan MB memang tidak boleh diterima.

“Fitnah memang salah, tapi ini bukan caranya untuk menangkis fitnah,” katanya lagi. – Roketkini.com