Berita

HARAPAN lancar kempen “Rakyat Tolak GST”

Pakatan Harapan (HARAPAN) hari ini mengumumkan kempen anti-Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) pada 1 April ini besempena ulang tahun pelaksanaan cukai itu dengan tema “Rakyat Tolak GST”.

Majlis Presiden HARAPAN berkata, rakyat digalakkan memuat naik resit pembelian mereka di Facebook, Twitter dan Instagram dengan hastag #RakyatTolakGST #PeoplevsGST

Selain itu, pimpinan komponen HARAPAN juga digalakkan untuk menganjurkan aktiviti kempen seperti ceramah, flashmob dan sebagainya di seluruh negara.

Pengerusi HARAPAN, Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kempen anti-GST ini dianjurkan bagi menyuarakan rasa tidak puas hari dan protes rakyat terhadap pelaksanaan cukai tersebut.

GST ujarnya telah menjadi punca kenaikan kos sara hidup dan membebankan golongan berpendapatan rendah dan sederhana.

“Hari ini GST diperlukan sebabnya kerana banyak wang kerajaan disalah guna dan dibazir. Salah guna ini menjadi begitu besar menjelang PRU14,” katanya.

Bakal Perdana Menteri itu menegaskan, pemansuhan GST yang terkandung dalam Manifesto HARAPAN tidak sama sekali akan menjejaskan pentadbiran kerajaan mahupun pembangunan negara ini. – Roketkini.com