Berita

Kit Siang ‘menghantui’ Dewan Rakyat

Kemunculan Ketua Parlimen DAP, Lim Kit Siang hari ini di Dewan Rakyat menerima layanan aneh daripada Speaker, Tan Sri Pandikar Amin.

“Saya berdiri di sini sebagai ‘hantu’ Parlimen,” ujar Kit Siang kepada sidang media di lobi Parlimen.

“Speaker kata beliau tidak nampak saya. Ini adalah satu episod yang memalukan dalam sejarah Parlimen Malaysia. Belum pernah lagi terjadi sebelum ini,” kata Ahli Parlimen Gelang Patah itu.

Kit Siang hampir dihalau keluar setelah digantung enam bulan oleh Pandikar semalam; kali kedua sepanjang tempoh Parlimen bersidang pada penggal ini.

Kedua-dua penggantungan adalah kerana persoalan yang dibangkitkan beliau berkenaan skandal 1MDB.

“Kerana Gelang Patah tak ingin keluar dari dewan, Saya hanya akan pejam sebelah mata (I will just turn a blind eye). Kalau Gelang Patah bangun atau bercakap, saya tidak akan layan. Begitu juga dengan timbalan-timbalan saya. Ini adalah precedent baru saya,” ujar Pandikar Amin.

Parlimen kecoh seketika semalam apabila Pandikar mengarahkan supaya menteri mengusulkan supaya Kit Siang digantung selama enam bulan, menghalang beliau daripada membahaskan usul persempadanan semula kawasan pilihanraya yang dibentangkan semalam.

“Jika saya balik dan Ahli Parlimen Gelang Patah masih ada dalam Dewan, saya akan arahkan supaya beliau diangkat keluar dari Dewan,” kata Pandikar semalam.

Namun tidak ada yang menyentuh Kit Siang selepas sidang bersambung, sehinggalah hari ini. – Roketkini.com