Berita

Saksi pendakwa dedahkan Lim Guan Eng tidak beli rumah bawah harga pasaran

Saksi pendakwa dalam kes perbicaraan Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng melibatkan pemilikan rumah di Jalan Pinhorn mendedahkan bahawa harta tersebut tidak dibeli di bawah nilai pasaran.

Peguam Gobind Singh Deo berkata, saksi pendakwaan Pengarah Henry Butcher cawangan Pulau Pinang Teoh Poh Huat, memberitahu mahkamah bahawa nilai rumah itu adalah RM2.5 juta pada 2008.

“Jelas saksi pendakwaan mengaku perjanjian berkaitan harga hartanah yang menjadi pertikaian dibuat sebelum Ogos 2013.

“Kami akan membuktikan dalam perbicaraan ini bahawa sebenarnya persetujuan untuk harga rumah dicapai pada suku pertama 2012.

“Kami bertegas ketua menteri tidak melakukan apa-apa kesalahan, begitu juga tertuduh kedua, Phang Li Koon, seperti yang didakwa,” katanya kepada media di Mahkamah Tinggi Pulau Pinang semalam.

Tegasnya, dakwaan mengatakan Guan Eng membeli rumah tersebut pada tahun 2015 (dengan nilai semasa RM4.27 juta adalah tidak berasas sama sekali.

Pasukannya berpendirian bahawa bukti akan menunjukkan nilai rumah yang disetujui dicapai pada suku pertama tahun 2012.

“Ia adalah tuduhan tak berasas dan kita akan terus melawan,” kata Gobind.

Terdahulu. perbicaraan hari pertama kes ini menimbulkan keyakinan wujudnya elemen konspirasi politik yang cuba menjatuhkan reputasi dan imej Guan Eng sebagai Ketua Menteri.

Keterangan saksi, seorang blogger pro-Barisan Nasional (BN), Mohsin Abdul Latif, 34, atau lebih dikenali sebagai ‘Mamu Parpu’ mengaku tidak tahu bila dan berapa bilangan rumah yang dimiliki.

Muhsin juga tidak tahu mengenai harga dan tarikh pembelian rumah tersebut malah mengakui dia membuat laporan kepada Suruhanjaya Siasatan Rasuah malaysia (SPRM) terhadap Guan Eng berdasarkan laporan berita TV3. – Roketkini.com