Berita

PAS – BN bersekongkol sokong akta sekat kebebasan akhbar

DAP melahirkan rasa hairan dan terkejut dengan tindakan PAS apabila kesemua 11 Ahli Parlimen PAS menyokong Barisan Nasional meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Antiberita Tidak Benar.

Bercakap kepada pemberita di Parlimen tadi, Setiausaha Agung Lim Guan Eng tidak menyangka PAS akan menyokong usul BN itu yang disifatkan akan ‘mematikan kebebasan akhbar’ negara ini.

“Saya rasa PAS sekarang bercakap macam Barisan Nasional. Itu yang saya rasa terkejut. Kenapa dia (PAS) belum jadi parti pemerintah, cakap macam parti pemerintah?

“Semua warga media, wartawan tahu bahawa Rang Undang-Undang Berita Tidak Benar akan menghalang kita menjalankan tugas secara professional kerana di minda kita, kita (fikir laporan berita) boleh didakwa,” soal Ahli Parlimen Bagan itu.

Guan Eng menegaskan, RUU tersebut akan menyebabkan kebebasan bersuara rakyat negara ini semakin terjejas termasuk pemberitaan berbentuk penyiasatan.

“Pemberitaan penyiasatan akan tiada lagi.

“Tak ada orang (media) berani buat siasatan lagi. Kita (pembangkang) berani suarakan, berani cakap, berani hentam tapi adakah anda (media) berani suarakan?

“Kebebasan akhbar akan jadi bahan sejarah dan akan mematikan kebebasan bersuara. Sampai di media sosial pun boleh tak lepas,” katanya lagi.

Dalam pengundian RUU tersebut semalam, kesemua 11 Ahli Parlimen PAS yang hadir menyokong RUU berkenaan kecuali Ahli Parlimen Temerloh Nasrudin Hassan dan Ahli Parlimen Marang Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang tiada semasa sesi pengundian berlangsung.

Terlebih dahulu, Parlimen meluluskan bacaan kedua RUU berkenaan dengan 123 undi menyokong dan 64 menolak. – Roketkini.com

Kredit foto: Koh Jun Lin  |  Malaysiakini