Berita

Kenapa SPR tidak tunggu keputusan mahkamah sebelum ‘haram’ guna gambar Tun M?

Ketua Biro Undang-undang DAP Gobind Singh Deo hari ini mempersoal keputusan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) yang melarang penggunaan gambar Tun Dr Mahathir Mohamad dalam kempen Pakatan Harapan (HARAPAN) pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Menurutnya, keputusan tersebut boleh dicabar memandangkan SPR sepatutnya menunggu keputusan mahkamah berhubung pendaftaran HARAPAN terlebih dulu.

“Keputusan SPR ini juga boleh dicabar kerana kita tidak akan mengambilnya dengan mudah. Kami mungkin berjaya di Mahkamah Tinggi esok.

“Melainkan SPR sudah memutuskan permohonan kami akan gagal, mereka sepatutnya tunggu kerana keputusan itu boleh dicabar,” katanya.

Februari lalu, HARAPAN telah memfailkan saman terhadap Jabatan Pendaftaran Pertubuhan (ROS) berhubung permohonan untuk didaftarkan sebagai gabungan rasmi.

Semalam, Setiausaha Organisasi DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, pegawai Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tidak membenarkan calon bakal Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir dipapar pada poster kempen HARAPAN.

“Kita juga difahamkan oleh SPR dan kita tanya kepada pegawai SPR umpamanya calon bakal perdana menteri kita Tun Dr Mahathir – adakah gambar beliau boleh dipaparkan dalam poster-poster kita di seluruh negara.

“Jawapan SPR kata tak boleh. Sebab dia kata Pakatan Harapan belum didaftarkan. Jadi pengurusi Pakatan Harapan adalah diharamkan dalam poster-poster pilihanraya,” kata Anthony. – Roketkini.com