Rencana

Semangkuk rendang sebagai calon Perdana Menteri

Yang sepatutnya jadi perdana menteri Malaysia ialah semangkuk rendang. Daging atau ayam, tak kisah. Semangkuk rendang adalah lebih baik sebagai perdana menteri berbanding mangkuk-mangkuk yang tersimpan dalam kabinet dapur di Putrajaya.

Kabinet rendang ini boleh melantik sambal tumis ikan bilis sebagai timbalan perdana menteri. Ikan bilis digoreng rangup sebelum digaul dengan sambal tumis pekat. Kisar cili kering, tambah sedikit cili boh. Belacan sekadar seinci, bakar dahulu sebelum ditumis bersama bawang kecil, halia, lengkuas sampai semerbak baunya. Tuang sedikit air asam jawa. Gula dan garam secukup rasa.

Menteri-menteri kabinet lain pula boleh dilantik dari kalangan lauk pauk lain. Tempe goreng misalnya boleh jadi menteri luar buat menjaga hubungan dengan negara jiran. Telur rebus, atau telur mata kerbau boleh jadi menteri pertahanan. Sebab ya lah, ada telur ertinya berani. Timun hiris boleh jadi menteri kesihatan.

Ayam goreng rangup boleh jadi ketua pembangkang. Ayam goreng dan rendang memang sentiasa berebut tempat sebagai lauk utama hidangan sepinggan nasi lemak panas-panas, kala hujan pagi turun renyai. Begitu.

Semua lauk pauk ini ternyata lebih ampuh menyatukan hati dan perasaan rakyat Malaysia sebagai sebuah bangsa. Malah berjaya menyatukan bangsa nusantara seluruhnya, berhadapan hegemoni dapur mat saleh yang baru-baru ini gigih mengajukan bahawa ayam rendang harus rangup kulitnya.

Rakyat Malaysia, Singapura malahan Indonesia bergabung tenaga di media sosial memaki hamun juri Master Chef UK yang menyingkirkan seorang peserta berasal dari Malaysia kerana rendang ayamnya tidak boleh dimakan.

Alasan mereka, kulit ayam tidak rangup.

Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak turut tidak ketinggalan ikut serta dalam upacara membahan tukang-tukang masak mat saleh itu.

“Mana ada orang makan rendang ayam ‘crispy’?” katanya. Ini memang tepat sekali. Zaman ini orang tak makan rendang ayam ‘crispy’. Orang lebih suka makan harta negara dan duit rakyat. Tapi tak apalah, itu cerita lain.

Pokoknya rakyat Malaysia sememangnya sebuah bangsa yang sensitif dalam bab makan. Makan dan tidur adalah dua perkara yang tidak boleh dibawa berbincang. Boleh berperang. Hal makan, lebih-lebih lagi; adalah perkara yang paling utama. Itu sebabnya ketika bulan puasa, dipukul tabuh sahaja sudah habis segelas air soya. Tuhan boleh tunggu sepuluh minit lagi. Makan dulu.

Ada hati perut

Dalam masyarakat Melayu, akal tidak ada peranan besar. Kerana itu kita sering mendengar ungkapan seperti ‘Kau ni tak ada hati perut betul’ atau ‘Ikut hati mati, ikut nafsu lesu’ atau ‘tepuk dada tanya selera’. Jarang kita dengar ungkapan melibatkan ‘akal’.

Sama juga keadaannya dengan konsep ‘harapan’. Orang Melayu tidak pernah memandang ‘harapan’ dalam konotasi positif. Contohnya kalau kita katakan kepada kawan-kawan, Aku nak mengorat Neelofa” (contoh ni, contoh); jawapan yang hampir pasti kita terima ialah: Harapan laaa… pegi mati”.

Akal dan harapan, dalam masyarakat Melayu adalah barang yang tidak dapat disentuh deria. Hati dan perut, sebaliknya, sering berkeroncong dan minta diisi serta dibelai dalam keadaan lapar mahupun kenyang. Oleh kerana itu, ia diutamakan.

Dan oleh sebab itu juga, fakta tidak pernah menang pilihanraya. Biarlah apa pun orang kata. Tidak ada pilihanraya yang pernah dijuarai kerana satu fakta mengalahkan yang lain.

Yang menang pilihanraya adalah sentimen dan bisikan hati nurani. United Malays National Organisation tahu akan hal ini. Sebab itu UMNO saban tahun bermain sentimen dan emosi, memujuk pengundi dengan senyuman dan sentuhan kasih mesra, sambil membisikkan ketakutan tentang kejatuhan kerajaan Melayu-Islam dan segala yang sewaktu dengannya.

UMNO membekalkan beras, sardin, gula dan garam. Malah turun ke lapangan menyuapkan makan ke mulut pengundi.

Fakta tidak pernah dan tidak akan menang pilihanraya. Sebab itu tidak ramai yang peduli dengan manifesto parti politik. Lebih penting adalah apa yang bakal disuap ke mulut. Kebebasan akhbar, kebebasan bersuara, hak asasi manusia, keadilan sosial; itu semua tidak menjamin sepinggan nasi untuk disantap waktu pulang ke rumah nanti.

Makan, itu nombor wahid.

Yang menjadi masalah umat Melayu hari ini ialah apabila nasi yang dimakan tidak sampai ke kepala otak. Masalah inilah yang menjadi faktor besar kemenangan UMNO zaman berzaman.

Bagaimana UMNO akan menang

UMNO akan menang dalam PRU ke-14 nanti. Malah ia akan menang besar dengan majoriti dua pertiga. Projek memenangkan UMNO ini akan berlangsung dengan bantuan persempadanan semula pilihanraya, yang secara cemerlang akan memenangkan kerusi-kerusi yang ditandinginya.

Bukan itu sahaja, UMNO juga akan menang dengan bantuan PAS. Ia akan membentuk kerajaan dengan PAS setelah kerusi-kerusi MCA habis melingkup akibat persempadanan semula. UMNO akan menang hasil kempen kecil-kecilan membunuh kehendak untuk keluar mengundi. Atau setidaknya menimbulkan keraguan dan mendorong untuk merosakkan undi.

UMNO akan menang dan membentuk kerajaan majoriti Melayu dan pembangkang majoriti Cina justeru memperhebat momokan bahawa pembangkang dikuasai Cina-DAP, walhal dalam diam UMNO menjual seinci demi seinci kedaulatan negara kepada komunis China.

UMNO akan menang dengan bermain sentimen Melayu-Islam. Ia akan memujuk hati perut umat Melayu untuk tunduk dan patuh terhadap ketakutan bahawa Islam-Melayu akan tergugat sekiranya ia melingkup dalam PRU kali ini.

UMNO akan menang dengan terus mengelak daripada berdebat dengan Tun Dr Mahathir yang kini menjulang panji-panji Reformasi. Gigih UMNO dan aparat yang diberi makan olehnya cuba memperosok Mahathir dalam lipatan sejarah lampau. Padahal Mahathir sudah jadi pembangkang.

UMNO akan menang sekiranya rakyat Malaysia tidak bergabung tenaga dan keluar mengundi beramai-ramai menunjukkan kemarahan kita semua terhadap sebuah kerajaan yang ditadbir dengan kaki. Kaki yang memijak-mijak kita dengan cukai GST demi menyelamatkan tabung ayam 1MDB.

UMNO akan menang. Kecuali kalau kita semua boleh bersatu hati menolak kerajaan para pencuri.

Sepertimana kita bersatu menolak sikap mat saleh penjajah, yang beriya meyakinkan kita bahawa ayam rendang kulitnya mesti ‘crispy’. – Roketkini.com