Berita

RAMD dilindungi Perlembagaan, Aziz Bari sanggah Najib Razak

Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) tidak mungkin dibubar walau apa juga keadaan kerana pasukan itu dilindungi Perlembagaan Persekutuan dan Majlis Raja-Raja kata tokoh perlembagaan Dr Abdul Aziz Bari.

Beliau berkata demikian ketika ketika diminta mengulas dakwaan Perdana Menteri, Najib Razak baru-baru ini yang membangkitkan persoalan RAMD mungkin dibubar kerana tidak sesuai dengan konsep ‘Malaysian Malaysia’.

Tegas Aziz, apa pun maksud ‘Malaysian Malaysia’ – termasuk ketakutan dan pembohongan dari UMNO, RAMD tetap tidak boleh dimansuhkan.

“Pertama RAMD ada perlindungan perlembagaan; ia dikecualikan daripada prinsip sama rata yang menjadi tonggak perlembagaan – lihat Perkara 8 Perlembagaan Persekutuan.

“Kedua Majlis Angkatan Tentera yang merupakan badan tertinggi yang mentadbirkan ATM turut dianggotai oleh wakil Majlis Raja-Raja.

“Adalah sukar untuk memansuhkan sesuatu yang penubuhannya diminta oleh Raja-Raja sendiri (pada tahun 1933),” katanya kepada Roketkini.

Perkara yang sama ujarnya terpakai terhadap segala dakwaan dan momokan UMNO selama ini yang bertujuan menakut-nakutkan orang Melayu.

“Sama seperti dakwaan UMNO yang kononnya DAP akan memansuhkan institusi raja, kedudukan Islam, bahasa Melayu dan juga kedudukan istimewa Melayu,” jelasnya menegaskan bahawa semua hak dan kedudukan istimewa itu dilindungi Perlembagaan.

Ahli Jawatankuasa DAP Selangor itu turut menempelak dongeng kononnya kakitangan awam perlu setia kepada parti yang memerintah.

“Angkatan tentera, polis dan kakitangan perkhidmatan awam perlu memberi taat setia kepada Raja dan negara dan bukannya kepada Perdana Menteri atau parti yang memerintah.

“Mereka boleh mengundi apa juga parti yang mereka yakini; cuma tidak boleh terlibat secara langsung dalam politik,” katanya lagi. – Roketkini.com