Rencana

Mempercayai ‘niat baik’ pemerintah?

“Tiada perkara yang lebih zalim daripada yang dibuat bawah perisai undang-undang dan atas nama keadilan” – Montesquieu.

Bila ahli-ahli Parlimen PAS membuat kejutan dengan menyokong rang undang-undang (RUU) Antiberita Tidak Benar tempoh hari, justifikasi yang diberikan adalah, antara lain, bahawa undang-undang ini adalah diperlukan dan wajib disokong.

Katanya, walaupun terdapat kebimbangan bahawa ianya akan disalahgunakan, ia ‘tidak boleh menjadi sebab untuk menolak’ RUU tersebut.

Penulis tidak ingin mempersoalkan sama ada benar atau tidak suatu undang-undang diperlukan untuk menangani ‘gejala’ berita palsu. Itu boleh didebatkan dalam forum atau rencana lain.

Apa yang penulis ingin persoalkan di sini adalah bagaimana RUU ini boleh disokong sekiranya terdapat kebimbangan bahawa ia akan disalahgunakan oleh pemerintah?

Lihat sahaja peruntukan-peruntukan yang ada pada RUU tersebut. Betapa luas definisi yang diberikan pada terma ‘berita palsu’. Ia bukan setakat meliputi berita sahaja, tetapi apa-apa jenis maklumat lain.

Bagaimana pula Mahkamah akan tentukan apa itu ‘berita tidak benar’, jika takrifannya begitu luas dan tidak khusus?

Jangan kita lupa bahawa RUU ini membenarkan pihak berkuasa untuk menahan seseorang tanpa waran. Ini sahaja sudah cukup untuk mewujudkan suasana takut dan membungkam suara rakyat.

Kita tidak patut menerima sesuatu undang-undang hanya kerana niatnya baik. Sebaik mana niat di belakang undang-undang itu, jika kuasa yang diberikan terlalu luas dan arbitari, ia akan disalahgunakan.

Apatah lagi dengan undang-undang seperti RUU Antiberita Tidak Benar yang mana niat di sebaliknya boleh dipersoalkan.

Berapa banyak undang-undang yang sudah disalahgunakan sebelum ini? Dahulu semasa Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) atau SOSMA digubal, kerajaan juga kata ia hanya digunakan ke atas pengganas dan mereka yang mengancam keselamatan negara.

Tetapi akhirnya, antara yang ditahan di bawah SOSMA adalah Khairuddin Abu Hassan dan Mathias Chang, kerana membuat laporan tentang 1MDB.

Sebab itu dalam proses penggubalan undang-undang, yang penting sekali adalah untuk menyemak dan memeriksa setiap satu peruntukan yang dicadangkan. Bak kata pepatah Inggeris, the devil is in the details.

Ini kerana, sekiranya undang-undang itu memberi kuasa yang luas kepada pemerintah, kebarangkaliannya tinggi bahawa ia akan disalahgunakan oleh pemerintah.

Niat sahaja tidak mencukupi untuk mewajarkan mana-mana undang-undang disokong. Jika ada kebimbangan bahawa ia akan disalahguna, ahli Parlimen yang bertanggungjawab wajar menolak RUU tersebut.

Ahli Parlimen yang bertanggungjawab, yang menggelar diri mereka sebagai pembangkang, harus memastikan bahawa terdapatnya perlindungan yang mencukupi sebelum menyokong apa-apa undang-undang yang boleh menyekat kebebasan rakyat.

Malang sungguh kita, apabila ada Ahli-ahli Parlimen pembangkang yang sanggup meletak kepercayaan pada ‘niat baik’ pemerintah sahaja. – Roketkini.com

*Syahredzan Johan adalah seorang peguam