Rencana

Menteri turut jadi mangsa kegagalan sistem politik

Pada 24hb Oktober 2016, Timbalan Menteri Kerja Raya Malaysia (KKR) Rosnah Rashid Shirlin memberi jawapan kepada saya di Parlimen bahawa hanya RM80 juta lagi diperlukan untuk menyiapkan Laluan Persekutuan 50, iaitu Jalan Batu Pahat-Mersing yang menghubungkan Parit Raja, Ayer Hitam dan Kluang.

Timbalan Presiden MCA Datuk Seri Dr Wee Ka Siong menyatakan bahawa beliau merasa gembira kerana saya turut memperjuangkan penaiktarafan jalanraya yang lebih selamat sama seperti apa yang diperjuangkan olehnya pada 2004. Tetapi perbezaan antara saya dengan Wee adalah, saya hanya seorang Ahli Parlimen pembangkang yang tidak menerima dana sebanyak RM5 juta setiap tahun untuk kawasan saya.

Dibandingkan dengan Ahli Parlimen BN, Ahli Parlimen pembangkang menghadapi banyak rintangan untuk mendapat peruntukan. Contohnya, saya berulangkali meminta untuk mendapat peruntukan RM200,000 bagi memasang lampu jalan di simpang Taman Ria, Jalan Batu Pahat.

KKR sudahpun memohon penyelesaian Jalan FT50 di bawah Rolling Plan 1 (RP 1) Rancangan Malaysia Kesebelas, tetapi, sehingga Rolling Plan 3, jalan tersebut masih belum diselesaikan. Rolling Plan 4 hanya akan disiapkan sepenuhnya pada bulan November tahun ini. Wee Ka Siong berjanji akan bekerja keras untuk menyiapkan pembinaan jalan.

Melalui kajian kes keselamatan jalanraya FT50, kita boleh melihat kegagalan sistem politik di Malaysia.

Pertama, desentralisasi adalah perkara yang amat penting. Rancangan Malaysia Kesebelas tidak memahami kesusahan rakyat. Rakyat bimbang bila menggunakan jalan tersebut. Perancangan jalanraya sepatutnya di bawah lingkungan kuasa kerajaan negeri dan kerajaan tempatan, terutamanya jalan seperti FT50 yang menghubungkan lebih daripada satu daerah, dimana ia lebih sesuai untuk dirancang dan dijaga oleh kerajaan negeri Johor.

Kedua, reformasi institusi pentadbiran juga amat penting. Dari segi peruntukan, kami lihat kuasa tertumpu di Unit Perancangan Ekonomi (EPU), Jabatan Perdana Menteri. Kalau tidak dapat kelulusan dari EPU, KKR tidak boleh menjalankan kerja mereka. Sistem politik kerajaan Najib telah menyerap kuasa dari kementerian-kementerian yang lain. Memiliki kuasa dalam pembahagian dana, turut mengukuhkan kuasa Jabatan Perdana Menteri. Bila KKR memerlukan RM80 juta, mereka perlu mendapatkan kelulusan daripada Jabatan Perdana Menteri.

Dalam 15 tahun ini, Wee Ka Siong sebenarnya boleh membuat pencapaian yang lebih baik dari sekarang seperti membetulkan sistem politik yang kian rosak. Kalau seorang Menteri dalam Jabatan Perdana Menteri pun perlu mendapat ‘kelulusan’ untuk menyiapkan jalan raya, ia jelas menunjukkan sistem politik di Malaysia bermasalah.

Mereformasi institusi pentadbiran dan politik merupakan antara janji-janji Pakatan Harapan di dalam manifesto kita. Jika Pakatan Harapan menang dalam PRU14 ini, kita akan berjuang untuk mereformasi institusi pentadbiran, termasuklah menyusun semula Jabatan Perdana Menteri dan merealisasikan federalisme, mengagihkan kuasa jabatan perdana menteri kepada kementerian yang lain, dan mengembalikan kuasa membuat keputusan dan pengurusan kewangan kepada kerajaan negeri. Ini adalah janji-janji Pakatan Harapan kepada rakyat Malaysia, untuk membina harapan yang baru di negara ini.

Baru-baru ini, saya ditanya oleh pihak media pendapat saya jika dijemput mereka untuk berdebat dengan Wee Ka Siong atas topik imaginasi dan visi kita terhadap masa depan Malaysia. Jawapan saya pastilah saya sudi. Saya masih percaya Wee Ka Siong adalah pendebat yang terhandal di MCA. Dengan sesi debat tersebut diharap dapat memperkayakan fikiran kita. – Roketkini.com