Berita

Sheikh Omar Ali, anak bangsa Johor berkarisma layak wakili DUN N30 Paloh

Jika tiada aral melintang, rakyat DUN N30 Paloh bakal mendapat seorang wakil rakyat baru yang bertanggungjawab dan berkarisma selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) – seorang anak muda yang dibesarkan dalam keluarga yang amat menitikberatkan pendidikan.

“Saya dibesarkan dalam keluarga ‘guru’ kerana ayah dan kesemua adik-beradik berkecimpung dalam profesyen perguruan. Keluarga kami amat menitikberatkan soal pendidikan serta nilai keperibadian yang baik.”

Dengan usia 33 tahun, Sheikh Omar Ali telah diberi kepercayaan oleh Pakatan Harapan (HARAPAN) mewakili DAP bagi merebut kawasan yang dikuasai MCA–BN.

Pada PRU13, calon BN Teoh Yap Kun hanya menang dengan majoriti tipis sebanyak 103 undian menewaskan calon DAP Shanker A/L Rengganathan yang memperoleh 7,428.

Sebagai anak jati Johor dari Daerah Kluang, beliau yakin bahawa Johor merupakan penanda aras tepenting kemenangan Pakatan Harapan (HARAPAN) di seluruh negara.

Sheikh Omar merupakan pemegang Sarjana Muda di Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya dalam jurusan Usuluddin.

Sewaktu menjadi mahasiswa, beliau merupakan seorang anak muda yang aktif dan pernah memegang jawatan sebagai Ahli Exco Kenegaraan dan Patriotisma Persatuan Mahasiswa Islam Universiti Malaya.

Manakala di peringkat nasional pula, beliau bergiat aktif sebagai Pengerusi Solidariti Mahasiawa Malaysia dan Presiden Ikatan Mahasiswa Islam Anak Johor.

Saya meminati aktiviti-aktiviti membangunkan masyarakat seperti program khidmat kemasyarakatan, motivasi, kesedaran dan pendidikan.

“Melalui aktiviti-aktiviti ini, saya mempunyai impian untuk melihat masyarakat Malaysia, khususnya di Johor dan Paloh, hidup berharmoni dan bersatu-padu serta bergotong-royong dalam suasana muhibah,” kata beliau.

Selepas menamatkan pengajian universiti, Sheikh Omar bertugas sebagai Pegawai Tadbir dan Diplomatik sebelum melibatkan diri sepenuh masa dalam gerak kerja politik sebagai Setiausaha Eksekutif Sekretariat Pakatan Rakyat Pusat dari tahun 2010 hingga 2013.

Menjelang pilihanraya umum ke-13 pada tahun 2013, beliau mengambil keputusan pulang ke kampung halamannya di Johor untuk membantu gerak kerja pilihanraya.

Pada ketika ini, beliau merupakan Ahli Jawatankuasa Majlis Pimpinan Pakatan Harapan Johor merangkap calon pilihanraya yang dipilih oleh Pakatan Harapan bagi DUN N30 Paloh.

Beliau menegaskan, kehidupan berkeluarga dengan seorang isteri dan tiga orang anak bekeluarga tidak menghalang beliau untuk terus berkhidmat untuk masyarakat.

Isteri beliau merupakan pelajar tahfiz Darul Quran dan juga graduan lepasan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) Malaysia serta pernah berkerja di Hospital Pakar King Faisal, Arab Saudi.

“Saya bersyukur kerana dikurniakan isteri yang sentiasa berdiri teguh disisi saya ketika susah mahupun senang. Anak-anak juga sangat memahami.

“Disamping itu, saya juga memiliki ibu dan ayah yang kuat menyokong serta memberikan dorongan kepada saya untuk terus berjuang demi masa depan negara yang lebih baik,” katanya lagi. – Roketkini.com