Berita

Pesona peribadi Tengku Zulpuri Shah meniti di bibir orang Raub

Calon Pakatan Harapan (HARAPAN) P080 Raub, Tengku Zulpuri Shah bin Raja Puji mewakili Parti Keadilan Rakyat (PKR) memiliki pesona tersendiri berbanding calon yang Barisan Nasional (BN) Chew Mei Fun  dan calon PAS, Dr Mohamed Nilam.

Selain latar belakang keluarga besarnya di Raub, nama Tengku Zulpuri amat dikenali sampai ke hulu kampung kerana imej mesra dan datang dari latar belakang ‘anak orang baik-baik’ yang dihormati.

“Saya memang rasa senang bila Tengku diumum jadi calon sini.”

“Kalau Tengku Zul, makcik memang sokonglah. Kita kenal keluarga dia”

Demikian antara reaksi positif peniaga warung dan pengunjung pasar pagi ketika ditemui Roketkini baru-baru ini.

Di kawasan majoriti penduduk Cina seperti di Kg Baru Sempalit dan Bukit Koman, pencalonan Tengku Zulpuri juga amat dialu-alukan.

Menurut seorang peniaga mee yang telah mengenali Tengku Zul sejak sebelum tahun 2013, beliau merupakan seorang yang baik, kuat bekerja dan lantang menyuarakan isu rakyat terutamanya semasa krisis alam sekitar melibatkan perlombongan emas di Bukit Koman.

Meski dari keluarga kerabat, itu tidak menjadikan beliau sombong sebaliknya ramah dan telah berjaya menjalankan tugasnya dengan cemerlang sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mentakab dan Ketua Pembangkang DUN Pahang pada penggal lalu.

Beliau dikenali bukan sebagai hanya wakil rakyat tetapi pemimpin yang ‘kuat bekerja’ dan lantang menyuarakan masalah dan isu-isu peringkat negeri dan kebangsaan.

“Memang dah jadi tugas saya selaku wakil rakyat untuk berkhidmat kepada rakyat, menguruskan masalah dan suarakan kepentingan mereka. Bila dapat mandat, itu jadi amanah. Kena buat kerja.

“Saya yakin, jika orang Raub beri kepercayaan, kita akan lakukan yang terbaik, inshaallah. Bukan saja  nak laksanakan manifesto (jika menang Persekutuan) tetapi takkan kecewakan pengundi yang beri kepercayaan, saya akan bekerja untuk rakyat sebaiknya,” kata Tengku Zul.

Pada PRU13 lalu, calon Pakatan Rakyat, Datuk Mohd Ariff Sabri mewakili DAP telah berjaya merampas kerusi MCA-BN satu lawan satu dengan majoriti 2,814 menewaskan Datuk Hoh Khai Mun yang diwarisi daripada penyandang PRU12 tahun 2008 iaitu Tan Sri Ng Yen Yen.

Teka-teki siapa bakal mewakili Parlimen Raub pada PRU14 yang bakal menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara PKR, BN dan PAS akan berakhir 9 Mei ini.

Ditanya mengenai potensi HARAPAN untuk mengekalkan kedudukannya,  Pengarah Pilihanraya II Parlimen Raub, Suhaimi Abdullah berkata beliau tidak menolak kemungkinan berlakunya protes senyap ahli akar umbi UMNO ekoran kemelut dalaman MCA dan parti itu di Raub.

“Sejak 2013 lagi kita dimaklumkan UMNO memang mahu letak calon di Raub. Baru-baru ini (sebelum penamaan calon) pun ada. Bila BN putuskan yang kerusi ni beri kepada MCA, kita dapat tengok ramai pimpinan dan ahli akar umbi UMNO tak suka.

“Saya tak tolak kemungkinan yang keadaan begini kebiasaannya akan menyebabkan undi protes dari kalangan UMNO sendiri,” kata Shuhaimi.

Bagaimana pun, krisis UMNO dan MCA di Raub ini ujarnya tidak akan mengurangkan gerak kerja kempen dan program HARAPAN Raub mendekati pengundi.

“Kita akan terus bekerja. Paling penting iaah pengundi kena tahu apa dan siapa yang mereka akan pilih. Tengku adalah pilihan terbaik untuk berkhidmat di Raub,” katanya lagi.

P080 Raub mempunyai tiga kawasan dan kesemuanya turut bakal ditandingi oleh calon-calon PKR iaitu Dasimah Zainuddin (N06 Batu Talam), Chow Yu Hui (N07 Tras) dan Dr Hamzah Jaafar (N08 Dong).– Roketkini.com

Oleh: Hafiz Zainuddin