Rencana

Kalau gempa tak terasa di kaki, apakan daya mengelak tsunami

Bodoh lah kalau kita percaya bahawa Barisan Nasional dan United Malays National Organisation pimpinan Datuk Seri Najib Razak tidak menjangka bahawa satu lagi ombak besar akan membadai lanskap politik negara kurang seminggu sahaja lagi.

Naif benarlah kita kalau ikut percaya bahawa Najib Razak itu berkeyakinan tinggi untuk menang majoriti besar sehingga dua-pertiga, sekaligus memperkukuh cengkamannya ke atas aparat kerajaan untuk sekurang-kurangnya lima atau sepuluh tahun lagi.

Kalau begitu tinggi sekali keyakinannya, bulan November tahun lepas kita sudah selesai mengundi, dan UMNO-BN akan menang besar. Tidak perlu berlengah sehingga sekarang ini.

Tuan-tuan dan puan-puan, ilusi bahawa Najib Razak itu yakin menang adalah propaganda yang dibikin untuk membuatkan kita semua teragak-agak untuk menukar parti pemerintah.

Tsunami yang disebut-sebut orang adalah perkara yang paling ‘real’ pada saat dan ketika ini. Kerana itu kita kerap mendengar Najib Razak menafikannya. Sudah memang hobi Najib Razak menafikan hakikat yang nyata, dan berdalih bertimpa-timpa.

‘Tsunami Melayu’ yang lambat sepuluh tahun itu akan membadai Najib Razak dan aparat kempennya dalam keadaan ia langsung tidak sedar dari celah mana datangnya ombak perubahan itu.

Jangan tersilap. UMNO dan BN boleh dikalahkan, dan akan pasti dikalahkan. Rakyat Malaysia akan berada di pihak yang menang setelah UMNO ditumbangkan.

Kita boleh senaraikan beberapa petunjuk dan isyarat yang membuktikan bahawa United Malays National Organisation langsung tidak yakin ia akan menang dalam PRU ke-14 ini.

Pertamanya dengan proses persempadanan semula kawasan pilihanraya. Ya memang proses diperuntukkan oleh undang-undang supaya dilaksanakan setiap lapan tahun sekali. Apa yang menimbulkan keraguan kita ialah pemindahan pengundi dari satu kawasan ke kawasan yang lain, selain perubahan sempadan yang berat sebelah, menumpukan suatu kaum di kawasan tertentu, dan kaum lain di kawasan yang sebaliknya.

Kalau BN yakin menang besar, ia tidak perlu beriya menunggu untuk sempadan pilihanraya dilukis semula.

Kedua ialah penggubalan Akta Antiberita Tidak Benar. Akta ini menerima kritikan hebat pengamal media, bukan sahaja aktivis politik pembangkang yang bergantung kepada maklumat-maklumat yang disembunyikan kebenarannya oleh kerajaan.

Ia antara lain digubal supaya kita semua takut-takut untuk menyebar maklumat yang tidak sehaluan dengan agenda parti kerajaan. Tetapi mereka yang menyebar propaganda bagi memberi kelebihan kepada kempen UMNO, tidak mengapa pula.

Kalau BN yakin menang besar, ia tidak perlu menggubal akta aneh ini yang bertindan dengan beberapa akta sedia ada. Bukankah media tradisional habis semua dikawalnya? Kalau UMNO yakin boleh menang besar, ia tidak perlu runsing dengan sebaran maklumat parti pembangkang.

Ketiga pula, adalah cubaan jahat membubarkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia, dalam rangka besar untuk menggagalkan pendaftaran Pakatan Harapan sebagai sebuah parti politik.

Begitu banyak birokrasi untuk menyusahkan pendaftaran parti lawan, yang bukan baru sekali ini dilakukan oleh UMNO-BN, bahkan pada PRU13 lalu, ia telah dilakukan terhadap DAP.

Cumanya untung kerana Jabatan Pendaftar Pertubuhan itu bukanlah organisasi yang bijak politik, lalu boleh dikilas dan dikunci pergerakannya di mahkamah.

Kalau BN yakin boleh menang, ia tidak perlu main bangsat dan cuba membatalkan pendaftaran parti lawan. Parti keris boleh berkeris secara jantan dan lawan secara berdepan.

Keempat ialah langkah Suruhanjaya Pilihanraya menyusahkan rakyat keluar mengundi, selain merumitkan usaha kempen Pakatan Harapan.

Sudahlah disuruhnya kita mengundi tengah minggu di hari Rabu, disuruhnya pula jangan meletakkan gambar selain calon dan presiden parti politik yang bertanding. Peraturan baru ini jelas sekali bertujuan menghalang poster-poster calon di seluruh negara daripada memaparkan gambar calon perdana menteri Pakatan Harapan, Tun Dr Mahathir.

Hakikatnya sepanjang tempoh kempen setakat ini, sudah berkali-kali kita temukan kejadian memotong atau memadam wajah mantan perdana menteri itu dari poster dan kain rentang kempen.

Kalau BN yakin boleh menang besar, apa yang ditakutkan sangat dengan wajah orang tua 92 tahun usia itu? Biar sahaja lah wajahnya tersengih dilihat pengundi. Bukankah beliau hanya seorang tua yang tidak punya karisma tinggi jika dibanding dengan ketokohan Perdana Menteri Najib Razak?

Kelima, pastinya politik wang dan politik makan percuma yang telah menjadi amalan zaman berzaman Barisan Nasional demi memujuk undi orang ramai.

Foto Malaysiakini

Bukan sekali dua kita melihat di media sosial bagaimana operator politik BN menghulurkan ‘dedak’ kepada pengundi, bahkan sekarang secara tidak berselindung lagi. Tak cukup sampul barangkali.

Kalau UMNO yakin boleh menang dua pertiga, pemberian wang tunai dan amalan memberi makan percuma ini boleh sahaja dihentikan. Tidak cukupkah pemberian BR1M bertahun-tahun untuk membeli kesetiaan dan sokongan rakyat?

Sebenarnya kalau UMNO dan BN yakin betul akan menang besar dalam PRU14 ini, perdana menteri sementara Datuk Seri Najib Razak boleh sahaja mengajak calon perdana menteri HARAPAN, Tun Dr Mahathir Mohamad untuk berdebat di kaca televisyen. Biar satu Malaysia saksikan kehebatan hujah dan fakta oleh Panglima Bugis yang menjadi idola mereka.

Kalau UMNO dan BN yakin betul boleh menang dua-pertiga Dewan Rakyat, ia tidak perlu takut-takut untuk memberi ruang menjawab kepada pemimpin-pemimpin pembangkang yang menjadi mangsa serangan kempen jahat di media-media massa.

Tetapi sebenarnya UMNO tidak yakin ia boleh menang.

UMNO dapat merasakan gerak gempa rakyat Malaysia di peringkat akar rumput, dan mereka tahu bahawa tsunami yang bakal melanda sudah tidak boleh ditahan-tahan lagi.

Hari demi hari kita disajikan dengan paparan ceramah umum Pakatan Harapan yang dibanjiri orang ramai. Kalau di tahun 2013 ini terjadi, kita boleh faham; media sosial di waktu itu, tidak begitu canggih.

Namun di zaman Facebook Live dan kempen-Whatsapp, orang ramai masih sanggup bersusah payah turun ke lapangan, berjalan jauh dan berasak-asak untuk menunjukkan sokongan kepada kerajaan menunggu – Pakatan Harapan.

Semalam Merdeka Center muncul dengan angka-angka terbaru bacaan politik mereka yang memperlihatkan peratusan sokongan terhadap Pakatan Harapan semakin meningkat tinggi.

Maka sekarang kita hanya perlu tunggu keputusan rakyat Malaysia. Tidak lama, hanya kurang seminggu lagi. – Roketkini.com