Berita

Mahathir gegar Putrajaya

Putrajaya malam tadi melakar sejarah apabila kawasan parkir bersebelahan Masjid Sultan Mizan Zainal Abidin dibanjiri ribuan hadirin bagi mendengar amanat tokoh utama Pakatan Harapan (HARAPAN) Tun Dr Mahathir Mohamad.

Meski kawasan tersebut basah dan berbecak, orang ramai terus berpusu-pusu memenuhi ruang hadapan pentas utama seawal jam 8.30 malam sebelum majlis bermula kira-kira jam 9.00 malam.

Apa yang membanggakan, gelombang kebangkitan rakyat bersejarah ini dihadiri segenap lapisan masyarakat pelbagai kaum dan sebahagian besar merupakan golongan muda dan teruja.

Antara barisan tokoh utama yang menyampaikan ucapan ialah Tun Dr Mahathir Mohamad, calon-calon HARAPAN Parlimen Putrajaya Dr Samsu Adabi; Hannah Yeoh (Segambut), Dr Dzulkefly Ahmad (Sungai Besar), Anthony Loke (Seremban) dan pemimpin-pemimpin HARAPAN Wilayah Persekutuan dengan penampilan khas Ustaz Nik Omar Nik Abdul Aziz.

Dalam ucapannya dihadapan sekitar 5,000 hadirin dan lebih 40,000 tontonan secara langsung di Facebook, Tun Dr Mahathir melahirkan rasa kagum kepada pengundi di Putrajaya.

“Saya hairan, saya ingat orang Putrajaya takut. Saya tak sangka begini ramai hadir untuk mendengar penerangan Pakatan Harapan.

“Saya yakin tuan puan bukan saja datang untuk mendengar syarahan tapi juga untuk tunjukkan rasa tanggungjawab terhadap nasib masa depan negara kita,” katanya.

Pengerusi HARAPAN itu turut menyindir calon Barisan Nasional (BN) Parlimen Putrajaya Tengku Adnan Tengku Mansor.

“Memang di sini banyak duit dihambur Tengku Adnan. Sejak jadi Setiausaha Agung UMNO, begitu kaya sekali…Daripada mana datang duit itu?” soalnya.

Di akhir ucapannya Mahathir melahirkan rasa gembira dengan jumlah kehadiran yang memberangsangkan.

“Saya gembira lihat jumlah yang besar begini. Saya gembira!

“Saya yakin (PRU) 9 Mei ini kita tumbangkan kerajaan kleptokratik yang telah samun berbilion-bilion. Kita akan ganti kerajaan kleptokratik dengan kerajaan Pakatan Harapan,” katanya lagi. – Roketkini.com

Foto: Hasful Zainuddin