Berita

1MDB berbohong, kerajaan ‘tanggung’ hampir RM7 bilion hutang! – Lim Guan Eng

Menteri Kewangan Lim Guan Eng hari ini mendedahkan syarikat 1MDB menerima RM6.98 bilion dalam bentuk ‘penyelesaian’ (bailout) oleh kerajaan ketika ditadbir Barisan Nasional (BN).

Menurutnya, Kementerian Kewangan telah membuat ‘pembayaran’ bagi pihak 1MDB berjumlah RM6.98 bilion.

Jumlah itu termasuk pembayaran yang dibuat kepada IPIC sebagai sebahagian daripada perjanjian penyelesaian berjumlah RM5.05 bilion.

“Ini mengesahkan kecurigaan umum bahawa 1MDB sebenarnya telah berbohong kepada rakyat Malaysia dengan mendakwa kononnya dibayar melalui ‘amalan rasionalisasi yang berjaya’.

“Perkara sebenarnya, selama ini pihak kementerian yang telah melakukan bail out kepada 1MDB,” kata Guan Eng pada sidang media di Putrajaya sebentar tadi.

Beliau turut mendedahkan perkara penting yang perlu diselesaikan dalam kadar segera ialah pembayaran faedah pinjaman 1MDB sebanyak RM143.75 juta yang perlu dibayar 1MDB itu pada 30 Mei 2018.

“Justeru saya telah memberi arahan kepada Arul Kanda untuk menjelaskan sama ada 1MDB mampu untuk membayar sejumlah wang tersebut,” katanya.

Menurutnya, Arul Kanda masih kekal sebagai Presiden dan CEO 1MDB sehingga 30 Jun 2018.

Selain jumlah faedah pinjaman RM143.75 juta yang perlu dilangsaikan hujung bulan ini, Guan Eng berkata terdapat sejumlah RM810.21 juta lagi kadar faedah antara September dan November 2017 perlu dibayar. – Roketkini.com