Berita

Najib harus terima kenyataan, bukan menyalahkan orang lain – Lim Kit Siang

Kenyataan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak yang mendakwa kekalahan Barisan Nasional (BN) dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu kononnya disebabkan ‘fitnah’ disifatkan sebagai penyakit sindrom penafian kata tokoh veteran DAP, Lim Kit Siang.

Mengulas kenyataan Najib itu, beliau mempersoalkan adakah dakwaan itu bermakna segala penemuan lebih 100 kilogram emas (berharga lebih RM16 juta), wang tunai berjumlah RM1 bilion termasuk 72 beg wang dan perhiasan serta 300 kotak beg tangan (jenama mahal Hermes Birkin dalam julat harga enam hingga tujuh angka) semuanya fitnah?

Sekiranya benar kekalahan BN itu disebabkan fitnah ujar Kit Siang, mengapa Najib tidak bertindak untuk membela diri.

“Jika benar, bukankah ini masanya DS Najib bangkit?

“Apa yang paling mengejutkan ialah lebih daripada sepuluh hari selepas Pilihanraya Umum ke-14, Najib masih hidup dalam halusinasi sendiri dan bukankah sudah tiba masanya untuk Najib bangkit daripada berhalusinasi?” soalnya dalam kenyataan.

Menurut Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu, disebalik dakwaan Najib, pemimpin BN sebenarnya yang bertanggungjawab menyebarkan propaganda fitnah pada PRU lalu memburuk-burukkan imej Pakatan Harapan khususnya DAP.

Najib pada 7 Mei dilaporkan berkata tidak ada orang Melayu yang hadir pada ceramah Pakatan Harapan dan sebahagian besar daripada mereka yang hadir adalah penyokong DAP dan sekaligus, tidak mungkin berlaku ‘tsunami Melayu’ pada PRU-14.

Kit Siang dalam masa yang sama mengingatkan bahawa siasatan ke atas skandal 1MDB telah menjejaskan nama dan reputasi Malaysia di mata antarabangsa sehingga diberi jolokan kleptokrasi global.

“Rakyat Malaysia berhak untuk mengetahui apa yang berlaku pada minggu terakhir Julai 2015 yang mana skandal 1MDB melanda, banyak khabar angin tentang amalan rasuah, pemecatan Peguam Negara, Tan Sri Gani Patail, peletakan jawatan Tan Sri Mohamad Apandi Ali, pemecatan Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yasin, SPRM dan Bank Negara telah dipadam dan dijinakkan dengan pembubaran Pasukan Petugas Khas berkuat kuasa empat Tan Sri dalam 1MDB,” katnya lagi. – Roketkini.com