Berita

Dr Zuhdi, PAS perlu muhasabah sebelum lempar tuduhan

Pengarah Penyelidikan PAS (PPP) Dr Zuhdi Marzuki harus sedar tentang kegagalan percaturan politik PAS daripada melemparkan kritikan semberono terhadap kerajaan baru Pakatan Harapan (HARAPAN) kononnya ‘kelam kabut’ dan ‘tergopoh-gapah’.

Penolong Setiausaha Publisiti DAPSY, Muhammad Shakir Ameer Mohideen berkata, beberapa tindakan tegas dan pantas itu dilakukan adalah untuk mengenalpasti kelemahan pentadbiran dahulu dan memastikan ia dipulihkan secepat mungkin, ini termasuk isu pembentukan kabinet penuh.

“Sudah tentu dengan perubahan kerajaan bagi kali pertama, pembentukan kabinet secara penuh akan mengambil masa.

“Sebagai contoh, baru-baru ini, kerajaan mengenalpasti bahawa skandal 1MDB adalah lebih teruk daripada disangka. Sudah tentu kerajaan harus mengambil tindakan terhadap pemimpin-pemimpin rejim lalu yang tidak bertanggungjawab menguruskan dana awam ke muka pengadilan.

“Mengambil tindakan sebegini bukannya sesuatu yang populis tetapi adalah suatu tanggungjawab selepas amanah diberikan oleh rakyat,” katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, ‘dilemma’ yang mungkin ada dalam kerajaan HARAPAN saat ini adalah terlalu ramai pemimpin yang berkaliber tinggi.

“Perdana Menteri selaku Pengerusi Pakatan Harapan Tun Dr Mahathir Mohamad dengan pengalamannya sebagai Perdana Menteri dahulu memainkan peranan penting untuk membentuk kabinet selepas peralihan kuasa secara aman.

“Namun demikian, ramai yakin dengan kebijaksanaan Tun Dr Mahathir, pentadbiran negara akan menjadi telus,” katanya.

Shakir berkata, Zuhdi seharusnya sedar bahawa percaturan politik PAS yang selama ini nampak bermesra dengan UMNO atas alasan ‘perpaduan ummah’ telah memakan diri dan UMNO khususnya di semenanjung.

“Di Selangor sendiri di mana PAS adalah sebahagian daripada kerajaan negeri sebelum ini kalah teruk sehingga tidak relevan.

“Dr Zuhdi sendiri kalah teruk di Shah Alam. Kemungkinan besar rakyat Selangor tidak lupa akan cadangan jahat Dr. Zuhdi untuk menggulingkan Pakatan Rakyat dan tubuhkan kerajaan negeri Selangor bersama UMNO pada tahun 2014,” katanya lagi.
Tambahnya, daripada melemparkan tohmahan memburuk-burukkan kerajaan baru HARAPAN, adalah lebih wajar sekiranya Zuhdi belajar daripada kesilapan lalu dan penasihat bagi kerajaan negeri Kelantan dan Terengganu yang ditadbir PAS.

“Semoga penggal baru ini akan memanfaatkan semua rakyat Malaysia dan membawakan politik baharu di samping memantapkan demokrasi negara kita,” katanya lagi. – Roketkini.com