Berita

Kerajaan telus dedah kedudukan hutang, tak jejas pasaran – Lim Guan Eng

Menteri Kewangan Lim Guan Eng menegaskan langkah kerajaan mengumumkan butiran sebenar paras hutang negara dan liabiliti mencecah RM1 trilion dilakukan atas prinsip cekap, bertanggungjawab dan ketelusan.

Menurutnya, pendedahan tersebut akan akan membolehkan kerajaan mengambil tindakan konkrit untuk mengawal selia serta memperkukuhkan lagi tahap kewangan Malaysia.

“Kita mahu menjelaskan bahawa kerajaan baharu ini akan menjalankan pentadbiran berdasarkan kepada prinsip kecekapan, kebertanggungjawaban dan ketelusan.

“Keputusan mendedahkan perkara sebenar ini mungkin tidak disenangi Najib namun kita percaya ia akan membolehkan kerajaan mengambil langkah konkrit untuk mengawal selia dan memperkukuhkan lagi keadaan kewangan negara,” katanya kepada media.

Menjawab dakwaan bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kononnya tindakan tersebut menjejaskan keyakinan pelabur, Guan Eng berkata kerajaan mahu mengetengahkan perkara sebenar dan mengemukakan langkah wajar menanganinya.

Setakat 31 Disember 2017, hutan RM1 trilion yang diumumkan kerajaan melibatkan hutang Kerajaan Persekutuan sebanyak RM686.8 bilion manakala sejumlah RM199.1 bilion pula membabitkan jaminan yang perlu dilangsaikan kerajaan bagi pihak pelbagai entiti yang tidak dapat menunaikan tuntutan hutang terbabit.

Jaminan kerajaan itu meliputi entiti seperti Danainfra Nasional Bhd (RM42.2 bilion); Govco Holdings Bhd (RM8.8 bilion); Prasarana Malaysia Bhd (RM26.6 bilion); Malaysia Rail-Link Sdn Bhd (RM14.5 billion) serta bagi 1Malaysia Development Berhad (1MDB) yang dianggarkan RM38 bilion.

Jelas Guan Eng, kerajaan telah memberi komitmen dan obligasi untuk membuat pembayaran seperti sewaan, penyelenggaraan dan bayaran lain untuk projek perkongsian awam-swasta seperti pembinaan sekolah, asrama, jalan raya, balai polis dan hospital. – Roketkini.com

Kredit foto: Kementerian Kewangan Malaysia