Berita

Kenapa masih ada kutipan GST di tiket parkir DBKL?

Setiausaha Sosialis Muda Kebangsaan DAP (DAPSY) Bryan Lew Chee Kwan hari ini membangkitkan persoalan mengenai kadar sifar GST yang masih belum dilaksanakan di kawasan parkir yang diuruskan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL).

Menurutnya, masih terdapat sebahagian parkir yang mengenakan GST sebanyak 6 peratus sebagaimana resit yang dikeluarkan oleh operator parkir Vista Summerose Sdn Bhd.

“Kerajaan telah umumkan, bermula 1 Jun 2018, semua cukai Barangan dan Perkhidmatan telah diturunkan dari 6 peratus kepada 0 peratus.

“Mereka yang gagal berbuat demikian telah pun diberi amaran oleh pihak Kastam dan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi Dan Kepenggunaan (KPDNKK).

“Namun apa yang berlaku, (operator) DBKL seolah-olah keliru dengan kadar sifar GST seperti mana yang tercatat dalam resit-resit parkir,” katanya kepada Roketkini.

Bryan berkata, pihaknya telah pun menghubungi Pengarah Eksekutif DBKL, Datuk Mohd Najib Mohd Said berhubung perkara tersebut.

Najib berkata, DBKL akan menyemak semula isu berkenaan dengan operator terbabit. – Roketkini.com