Berita

Anthony tak mahu layanan istimewa

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook memberitahu penganjur majlis kementeriannya supaya memulakan acara mengikut masa yang ditetapkan tanpa perlu sebarang tempoh menunggu.

Menurutnya, pihak penganjur tidak perlu lagi memberikan tempoh menunggu kepada hadirin sebelum ketibaan menteri sebaliknya memberikan tempoh masa yang sama untuk memulakan majlis.

Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Kempen Keselamatan Jalan Raya Dan Ops Bersepadu pagi tadi di RnR Seremban.

“Saya dimaklumkan saya perlu berada di sini pada jam 9.50 pagi. Tetapi bila saya tengok backdrop, majlis bermula jam 9 pagi.

“Saya harap penganjur boleh memberikan masa yang sama kepada kita, kalau hadirin tiba pukul 9 pagi, beritahu supaya menteri hadir pukul 9 pagi – tak perlu tunggu lama-lama.

“Saya tak suka orang menunggu saya lama-lama seolah-olah saya membuang masa orang lain. Jadi saya harap penganjur bila ada program bersama kita, tidak perlu tempoh menunggu.

“Kalau semua (perlu) hadir 9 pagi, (maka) menteri pun kena hadir 9 pagi. Ini cara baru kita, ini kerajaan baru, menteri baru, style pun baru,” katanya disambut tepukan hadirin.

Beliau menegaskan, ketepatan masa merupakan nilai yang diterapkan sendiri oleh Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Sebagai menteri Kabinet saya akan berusaha menepati nilai-nilai ini, bahawa kita akan menepati masa dan kita tidak mahu membuang masa,” katanya lagi. – Roketkini.com

Kredit foto: Kementerian Pengangkutan