Berita

Syahredzan Johan setpol baharu Lim Kit Siang

Peguam yang berpengalaman lebih 10 tahun dan juga aktivis Shahredzan Johan kini dilantik sebagai Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Iskandar Puteri Lim Kit Siang.

Beliau merupakan lulusan bidang perundangan dari Cardiff University, United Kingdom pada tahun 2005 sebelum dipanggil ke Majlis Peguam England dan Wales.

Kini Syahredzan merupakan rakan kongsi dalam firma Tetuan RamRais & Rakan-Rakan dan diperakui sebagai peguam bela dan peguam cara Mahkamah Tinggi Malaya pada bulan Oktober 2007.

Dalam satu kenyataan, beliau berkata pelantikannya sebagai Setiausaha Politik merupakan jawatan parti dalam DAP.

“Saya terharu dengan lantikan saya sebagai Setiausaha Politik Sdr Lim Kit Siang. Sdr Lim Kit Siang adalah seorang ahli politik yang berpengalaman dan dihormati dan saya percaya bahawa saya akan banyak belajar daripada beliau. Saya akan pikul tanggungjawab ini sebaik mungkin.

“Akhir sekali, untuk rekod ini adalah lantikan parti dan bukannya jawatan bergaji. Saya masih kekal mengamal undang-undang sebagai seorang peguam,” katanya.

Syahredzan berusia 35 tahun, dan anak kepada Tan Sri Johan Jaaffar, iaitu bekas pengerusi Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dan bekas Ketua Pengarang Kumpulan Utusan Malaysia.

Beliau menggantikan Kerk Chee Yee, yang kini Adun Ayer Keroh dan Exco Komunikasi, Multimedia, Belia dan Sukan Negeri Melaka.

Sepanjang lebih 50 tahun kerjaya politiknya, tokoh veteran DAP itu telah melantik hampir dua puluh orang setiausaha politik. – Roketkini.com

Kredit foto: The Edge Market