Berita

Skandal bazar Ramadan: DBKL yang minta surat sokongan

Ahli Parlimen Bukit Bintang Fong Kui Lun hari ini menjelaskan mengenai kekeliruan yang timbul ekoran isu ‘surat sokongan’ berhubung skandal 80 lot bazar Ramadan Ramadan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) di Jalan Masjid India baru-baru ini.

Tegasnya, surat DBKL bertarikh 5 Jun 2018 menyatakan bahawa agensi itu memerlukan pengesahan dan kelulusan bertulis daripada Ahli Parlimen Bukit Bintang untuk mengesahkan lokasi dan nama-nama peniaga yang disenaraikan.

Surat DBKL itu dikeluarkan setelah menerima surat permohonan bertarikh 31 Mei 2018 daripada Mohd Norhisyam Abd Karim selaku penganjur bazar berkenaan yang juga pemimpin Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Bukit Bintang.

“Oleh itu, saya telah mengarahkan pusat perkhidmatan Bukit Bintang untuk mengeluarkan surat pada 31 Mei 2018 yang menyatakan bahawa saya tidak mempunyai bantahan terhadap permohonan oleh En. Mohd Norhisyam untuk Datuk Bandar Kuala Lumpur mempertimbangkan permohonan tersebut.

“Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) telah membalas permohonan En. Mohd Norhisyam pada 5 Jun 2018 dan juga telah memberikan sesalinan surat tersebut kepada saya pada hari yang sama menyatakan bahawa mereka telah mengkaji cadangan untuk menganjurkan Bazar Ramadan di Lorong Tuanku Abdul Rahman dan Jalan Masjid India,” katanya.

Timbalan Pengerusi DAP Wilayah Persekutuan berkata demikian dalam laporannya yang dibuat di Ibu Pejabat Daerah (IPD) Dang Wangi sebentar tadi.

Kontroversi lot bazar Ramadan ini tercetus apabila media melaporkan wujud penyelewengan dan salah guna kuasa bagi mendapatkan 80 tapak bazar berkenaan apabila tapak bazar didakwa disewakan sehingga RM5,000 bagi satu lot dengan anggaran RM400,000 bagi keseluruhan 80 lot.

Susulan itu, Pengarah Jabatan Pelesenan dan Pembangunan Penjaja DBKL, Anwar Mohd Zain pada 15 Jun lalu mendakwa kononnya telah ‘dipaksa’ meluluskan permohonan lot bazar berkenaan kepada Mohd Noorhisyam Abd Karim selepas menerima surat sokongan daripada Fong.

Ekoran dakwaan Anwar itu, Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng menggesa pengarah pelesenan DBKL itu supaya memohon maaf kepada Ahli Parlimen Bukit Bintang.

“Macam mana dia (Fong) paksa? Adakah Fong gunakan kata-kata yang mengugut dalam surat sokongan kepada Anwar?

“Dengan kata lain Anwar yang ‘memaksa’ Fong mengeluarkan surat sokongan, dan sekarang sebaliknya kata dia (pula) dipaksa.

“Jadi, saya mahu dia meminta maaf secara terbuka kepada Fong kerana memberikan gambaran buruk kepada beliau,” katanya yang juga Ahli Parlimen Kepong. – Roketkini.com