Berita

DAPSY cadang daftar terus pengundi secara automatik

Sosialis Muda DAP (DAPSY) Kebangsaan mengalu-alukan cadangan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad untuk menurunkan had umur pengundi kepada 18 tahun berbanding 21 tahun seperti diamalkan kata ketuanya Wong Kah Woh.

Langkah ini jelasnya merupakan satu kewajaran dan pada masa yang sama menunjukkan keyakinan kepada golongan muda diberi pilihan untuk membuat keputusan terbaik demi masa depan negara.

“Ia juga merupakan satu pengiktirafan kerajaan kepada peranan golongan anak muda dalam membantu untuk perkembangan demokrasi negara ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Menurutnya, cadangan daripada Perdana Menteri itu merupakan idea yang bernas dan selari dengan perkembangan politik dan demokrasi sedunia.

“Selain daripada negara-negara seperti Thailand, Australia, Denmark, Italy, Jerman dan hampir 100 negara yang telah menetapkan had umur mengundi pada 18 tahun, negara Japan dan Taiwan juga pada baru-baru ini menurunkan had umur mengundi untuk referendum ke 18 tahun,” jelas Kah Woh.

Selain menurunkan had umur pengundi, Ahli Parlimen Ipoh Timur itu juga mencadangkan supaya kerajaan mengambil langkah ke hadapan melaksanakan sistem pendaftaran pengundi secara automatik bagi mereka yang telah mencapai had umur sepatutnya.

Sistem pendaftaran pengundi automatik katanya tidak asing seperti yang dilaksanakan di negara-negara demokrasi maju.

“Jerman, Perancis, Belgium dan Sweden merupakan antara negara-negara yang melaksanaan polisi ini.

“Amerika Syarikat juga telah mengambil langkah ke hadapan dalam perkara ini yang mana rang undang-undang Sistem Pendaftaran Pengundi Otomatik telah diperkenalkan dan diluluskan termasuk di Oregon, California, West Virginia dan negeri-negeri yang lain,” katanya.

Kah Woh menjelaskan, langkah tersebut boleh dilaksanakan dengan segera memandangkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memiliki sistem hubungan talian terus dengan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).

“Secara teknikalnya pendaftaran pengundi automatik adalah sesuatu yang boleh dilaksanakan dengan segera,” katanya lagi.

Setakat September 2017, terdapat 3.6 juta rakyat Malaysia yang layak mengundi tidak mendaftarkan diri mereka sebagai pengundi.

Daripada jumlah tersebut, dua pertiga atau kira-kira 2.5 juta terdiri daripada golongan muda yang berumur antara 21 hingga 30 tahun.

Keadaan ini kata beliau bertambah serius selepas tahun 2013 yang mana Kerajaan Persekutuan BN pada ketika ini, melalui Suruhanjaya Pilihanraya, telah menamatkan kesemua perkhidmatan Penolong Daftar Pengundi untuk parti-parti politik. – Roketkini.com