Berita

Kerajaan perlu arah moratorium ke atas akta-akta menindas

Kerajaan diseru supaya mengambil langkah proaktif mengeluarkan arahan penangguhan rasmi (moratorium) kepada polis dan pendakwa raya supaya tidak menyiasat mana-mana individu di bawah akta-akta menindas yang bakal dimansuhkan.

Naib Ketua Sosialis Muda DAP Subang, Farhan Haziq Mohamed berkata, tindakan tersebut perlu dilakukan Menteri Dalam Negeri dan Peguam Negara bagi meredakan kebimbangan awam terhadap penggunaan akta tersebut.

“Ia juga merupakan komitmen utama yang telah dinyatakan dalam Janji 27: Menghapuskan Undang-Undang Zalim, Buku Harapan yang perlu ditunaikan kepada rakyat Malaysia bagi memberi ruang demokrasi seluas-luasnya kepada sesiapa pun termasuk mereka yang tidak bersetuju dengan kerajaan hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kenyataan ini dikeluarkan mengulas tindakan polis menyiasat wakil Parti Sosialis Malaysia (PSM) S. Arutchelvan bersama 50 aktivis yang telah berhimpun di hadapan pejabat Perdana Menteri Malaysia pada 11 Jun 2018.

Dalam perhimpunan itu, PSM memohon agar Perdana Menteri campurtangan dalam pemecatan bekas pekerja Bank Negara Malaysia, Y Kohila setelah terlibat dalam protes anti GST pada 2016 ketika zaman pentadbiran Datuk Seri Najib Razak.

“Saya mengecam sebarang siasatan terhadap mereka di bawah Akta Perhimpunan Aman 2012 kerana undang-undang tersebut merupakan salah satu daripada undang-undang yang bakal dimansuhkan oleh kerajaan.

“Walaupun undang-undang tersebut masih lagi sah dan terpakai, kerajaan baru perlu mengisytiharkan moratorium ke atas sebarang siasatan atau pendakwaan bagi kes-kes di atas untuk menunjukkan keseriusan kerajaan untuk tidak lagi menggunapakai undang-undang tersebut sebelum dimansuhkan kerana proses pemansuhan bakal mengambil masa yang lama,” katanya yang juga peguam.

Menurutnya, sebarang tindakan yang dilihat membelakangkan prinsip demokrasi dan manifesto untuk memansuhkan semua undang-undang menindas adalah janggal.

“Kita tidak mahu rakyat melabelkan kerajaan baru ini seperti ‘cakap tidak serupa bikin’ dan meneruskan sebarang tindakan yang dilihat membelakangkan prinsip demokrasi,” katanya lagi.

Selain Akta Perhimpunan Aman 2012, undang-undang lain yang memerlukan penangguhan rasmi ialah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998; Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (SOSMA); Akta Pencegahan Keganasan 2015 (POTA) ; Akta Hasutan 1948; Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984; Akta Universiti dan Kolej Universiti 1971; Akta Pencegahan Jenayah 1959; Akta Majlis Keselamatan Negara 2016 dan Akta Anti Berita Tidak Benar 2018. – Roketkini.com