Berita

Lim Guan Eng perjelas kekeliruan, kenyataan media rasmi hanya dalam Bahasa Melayu

Ekoran polemik yang tercetus, Menteri Kewangan, Lim Guan Eng hari ini menegaskan bahawa Kementerian Kewangan sentiasa mengutamakan penggunaan Bahasa Melayu sebagai Bahasa pengantar rasmi kerajaan.

“Ingin saya tegaskan bahawa semua kenyataan dalam media rasmi saya di bawah Kementerian sememangnya dikeluarkan dalam Bahasa Melayu dan hanya diterjemahkan kepada bahasa lain sekiranya perlu.

“Pendirian mendukung Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan bahawa Bahasa Melayu sebagai Bahasa Kebangsaan tidak pernah dipertikaikan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menolak dakwaan sesetengah pihak kononnya Bahasa Mandarin telah menggantikan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi Kementerian Kewangan.

Guan Eng berkata, kenyataan rasmi Bahasa Melayu akan diterjemahkan kepada Bahasa Inggeris untuk kegunaan media antarabangsa dan sesekali akan diterjemahkan ke dalam Bahasa Mandarin sekiranya ada keperluan.

“Saya tidak faham mengapa terjemahan kenyataan rasmi Bahasa Melayu kepada Bahasa Inggeris ataupun sekali-sakala dalam Bahasa Mandarin boleh diputarbelitkan untuk menyatakan bahawa bahasa rasmi Kementerian Kewangan telah ditukar ke bahasa Bahasa Mandarin.

“Jika adapun, terjemahan ke dalam Bahasa Mandarin dibuat apabila ada keperluan, terutamanya apabila isu tersebut melibatkan terma-terma teknikal,” ujarnya.

Guan Eng menjelaskan, terjemahan yang dilakukan kepada media berbahasa Cina atau media sosial tidak digunapakai dalam laman rasmi Kementerian Kewangan.

“Akan tetapi, saya akan menggunakan bahasa lain dalam akaun media sosial saya dan juga Bahasa Mandarin dalam komunikasi saya bersama akhbar Cina.

“Saya telah mengeluarkan kenyataan dalam Bahasa Mandarin pada 24 Jun 2018 tanpa kepala surat rasmi Kementerian Kewangan.

“Saya mengucapkan terima kasih kepada rakyat Malaysia kerana prihatin tentang perkara ini dan saya mengambil maklum kritikan dan teguran berkenaan dengan status yang dimuatnaik dalam laman sosial saya pada 24 Jun 2018.

“Saya akan terus memperbaiki apa-apa kelemahan dalam tata urus komunikasi saya dengan rakyat Malaysia,” katanya lagi. – Roketkini.com