Rencana

Eddie Ng: Sukarelawan ikhlas berkhidmat

Saya sedang memandu pulang ketika mendapat tahu pemergian seorang pemimpin yang amat dihormati dan begitu dekat di hati rakyat, Sdr Eddie Ng.

Terkejut, seharian saya cuba menghadam berita sedih yang mengejutkan ini. Seorang yang begitu baik dan sentiasa ikhlas bekerja keras demi kebaikkan rakyat yang dipimpin telah pergi meninggalkan kita semua. Orangnya amat disenangi dan mudah didekati.

Meskipun saya tidak selalu berpeluang bekerjasama dan bertemu dengan beliau, tetapi bencana alam banjir besar di Kelantan pada tahun 2014 telah memberi saya peluang mengenali sosok yang mulia budi pekertinya ini.

Saya ketika itu menyumbang tenaga sebagai seorang sukarelawan Dapur Jalanan Kuala Lumpur menemukan saya dengan Sdr Eddie apabila saya dan kawan-kawan Dapur Jalanan ke Balakong untuk menguruskan hal bekalan makanan mentah untuk dibawa ke Kelantan.

Sungguh, Sdr Eddie antara wakil rakyat yang sangat komited membantu mangsa bencana alam banjir di Kelantan ketika itu. Beliau bersama-sama warga Balakong yang lain mengumpulkan segala bentuk bantuan, makanan, pakaian dan lain-lain untuk dikirim buat bekalan mangsa banjir di Kelantan.

Dan kiriman ini bukan hanya sekadar kiriman, sebaliknya Sdr Eddie sendiri telah turun ke kawasan yang ditimpa bencana banjir untuk menyerahkan sendiri sumbangan yang dikumpulkan dan bersama-sama turun padang bermandi lumpur membersihkan rumah mangsa banjir di Kelantan.

Tanpa keluh kesah dan sungutan penat, tak cukup tidur, tak apa. Asalkan semua berjalan lancar dan segala bentuk bantuan sampai ke sana dengan selamat.

Sungguh, ikhlas itu kata orang ibarat semut hitam yang berjalan di atas batu hitam, di dalam pekat malam. Tidak nampak, tetapi pasti dapat dirasai. Dan inilah saudara Eddie Ng yang sentiasa ikhlas berkhidmat untuk rakyat, bukan sahaja yang di bawah tanggungjawab dan pimpinannya tetapi terhadap semua yang memerlukan, pasti akan diusahakan sesuatu olehnya.

Sdr Eddie, anda seorang yang berjiwa murni, sentiasa ikhlas dan disenangi semua tanpa mengira latar belakang. Terima kasih atas segala jasa dan khidmat bakti yang dicurahkan.

Terima kasih kerana memberi inspirasi kepada kami semua untuk sentiasa ikhlas dalam perjuangan dan memberi khidmat terbaik untuk semua. Terima kasih kerana memberi contoh yang baik dan memberi tunjuk ajar melalui perilaku dan pekerti yang mulia.

Sdr Eddie, berehatlah dengan tenang, telah banyak anda lakukan untuk kami semua.

Berehatlah dengan tenang, khidmat bakti anda akan sentiasa kami kenang. Berehatlah dengan tenang, kerana anda telah berusaha keras demi Malaysia yang lebih baik. Berehatlah dengan tenang, jangan risau, insan semulia anda akan sentiasa dalam ingatan kami semua.

Berehatlah dengan tenang, meskipun anda akan dirindui, tetapi semangat juang anda akan sentiasa menemani kami semua. Biarkanlah malam yang panjang berlalu pergi, tinggalkan segala kekusutan dunia, berehatlah dengan tenang dan damai selamanya.

Terima kasih Sdr Eddie, semoga damai di sana. Berehatlah dengan tenang, kami pasti akan merindui anda. – Roketkini.com