Berita

Penyusunan semula kementerian seiring agenda reformasi pentadbiran

Ahli Parlimen Kota Kinabalu Chan Foong Hin mengalu-alukan langkah kerajaan melakukan penyusunan semula kementerian serta agensi awam termasuk pengurangan pemusatan kuasa di tangan Perdana Menteri dan reformasi parlimen.

Ini katanya termasuk pengumuman kerajaan melaksanakan penguntukan semula (realocation) peruntukan perbelanjaan 2018.

Menurutnya, langkah tersebut penting dalam menjayakan agenda reformasi melalui pemisahan kuasa antara badan perundangan dan eksekutif.

“Yang paling ketara ialah pengurangan skop kerja dan kuasa Jabatan Perdana Menteri (JPM). Ini amat dialu-alukan kerana Malaysia Baru berlandaskan pemerintahan tanggungjawab bersama, dan bukan ditentukan oleh seorang sahaja yang boleh merisikokan Malaysia kepada pemerintahan kleptokrasi,” katanya dalam kenyataan.

Chan menjelaskan, penyususnan semula kementerian serta agensi awam ini seiring dengan agenda reformasi pentadbiran yang dinyatakan Buku HARAPAN.

Ia antara lain memperlihatkan besar kerajaan apabila JPM misalnya hanya memerlukan RM4.9 bilion daripada RM12.3 bilion perbelanjaan pembangunan yang diperuntukkan tahun ini.

Penyusunan semula dan pembubaran agensi tertentu ujarnya bukan sahaja dihadkan dalam JPM malah turut dilaksana dalam kementerian-kementerian lain.

“Sebagai contoh, Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Lembaga Perlesenan Kenderaan Perniagaan Sabah dan Sarawak telah dipindah dari JPM ke Kementerian Pengangkutan, Pembangunan Lima Koridor dipindah dari JPM ke Kementerian Kewangan, dan sebagainya.

“Terdapat 14 kementerian yang terlibat dalaM penguntukan semula peruntukan perbelanjaan yang dicadangkan ini. Cuma terdapat 4 kementerian yang menampakkan perbelanjaan pengurusan lebih daripada perbelanjaan pembangunan, iaitu Kementerian Pengangkutan, Kementerian Belia dan Sukan, Kementerian Sumber Manusia, dan Kementerian Pendidikan,” jelas beliau.

Dalam masa yang sama, beliau yang juga Setiausaha DAP Sabah meminta agar kerajaan mempertimbangkan lebih peruntukan bagi hal ehwal parlimen merujuk kepada lapan agensi di bawah JPM yang akan beroperasi secara bebas dan melapor terus kepada parlimen.

Selain itu, kerajaan juga diminta mengkaji semula lima koridor pembangunan dan Economic Transformation Program yang dipelopori oleh kerajaan BN terdahulu kerana kebanyakan pengumuman terdahulu tidak ditunaikan.

“Seperti yang terbukti di koridor pembangunan Sabah di mana SEDIA ialah agensi “one stop” pengurusan tersebut, pelaburan yang sering dikatakan terdahulu seperti  kilang penjana kuasa geothermal di Tawau, projek penternakan lobster di Semporna dan pembinaan resort Alorie Lepa-lepa di Pulau Mabul.

“Tahun ini ialah ulang tahun kesepuluh lima koridor pembangunan. Sampailah masa kita merenung balik model pembangunan kerajaan terdahulu dan sama-sama membentuk model pembangunan yang sesuai dengan Malaysia Baru,” katanya lagi. – Roketkini.com