Berita

Adakah MCA mahu GST bangkit dari ‘kuburnya’, soal Guan Eng

Rakyat sebenarnya menerima ‘hadiah’ sebanyak RM23 bilion daripada kerajaan Pakatan Harapan (PH) selepas pelaksanaan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) pada 1 September lalu, kata Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Ini kerana, menurutnya, kerajaan mengutip hasil cukai yang lebih sedikit menerusi pelaksanaan SST iaitu sebanyak RM21 bilion berbanding cukai barangan dan perkhidmatan (GST) sebanyak RM44 bilion.

“(Ini) Bermakna terdapat kekurangan cukai sebanyak RM23 bilion yang dikembalikan sebagai hadiah kepada rakyat Malaysia. Impak kenaikan harga dijangka kurang daripada separuh daripada harga GST.

“Tetapi Umno dan MCA menggambarkan SST sebagai suatu cukai yang lebih teruk daripada GST. Ini tidak benar dan merupakan fitnah sama sekali.

“Adakah Umno dan parti komponennya, MCA, mahu menghidupkan semula GST dari ‘kuburnya’?” katanya yang juga Setiausaha Agung DAP ketika berceramah dalam kempen pilihanraya kecil DUN Balakong.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Setiausaha Agung Umno Tan Sri Annur Musa yang mendakwa SST kononnya akan mengundang “bencana besar” kepada PH kerana akan menaikkan harga barangan selepas dua tahun pelaksanaannya.

Guan Eng sebelum ini dilaporkan berhasrat mahu mengecualikan 5,443 barangan dan perkhidmatan dari SST, berbanding 545 barangan yang dikecualikan cukai di bawah rejim GST yang dilaksanakan kerajaan Barisan Nasional (BN).

Beliau justeru turut menggesa pengundi Balakong untuk menghalang MCA daripada memenangi PRK yang bakal berlangsung hujung minggu ini dan memastikan kemenangan Pakatan Harapan.

Ini katanya akan juga dapat menyekat Umno, MCA dan PAS daripada memecahbelahkan rakyat dengan politik kebencian, perkauman dan eksterimisme agama mereka untuk mengaburi mata rakyat tentang sokongan MCA terhadap GST, skandal 1MDB, dan skandal-skandal melibatkan bayaran balik GST dan cukai berjumlah RM35.25 bilion.

“Pakatan Harapan sekarang ini bersungguh-sungguh mahu membawa mereka yang terlibat dengan skandal-skandal kewangan ini ke muka pengadilan kerana tindakan mereka telah menyebabkan hutang Kerajaan Persekutuan mencecah lebih RM1 trillion dan sekaligus menjejaskan kesejahteraan ekonomi rakyat.

“Demi memulihkan keadaan ini dan menurunkan kos sara hidup yang membebani rakyat, Pakatan Harapan telah menggantikan GST dengan SST,” jelas beliau. – Roketkini.com