Berita

Sekat pelaksanaan Akta Antiberita Tidak Benar sehingga mansuh, kata Syahredzan

Setiausaha Politik kepada Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Syahredzan Johan menggesa kerajaan agar mengenakan moratorium (sekatan) ke atas pelaksanaan Akta Antiberita Tidak Benar sehingga ia benar-benar dimansuhkan.

Gesaan itu dibuat susulan tindakan Senator Barisan Nasional (BN) mengagalkan usaha kerajaan untuk memansuhkan akta tersebut di Dewan Negara, semalam.

Menyifatkan akta itu sebagai tidak demokratik, beliau berkata, ia juga melanggar kebebasan asasi rakyat Malaysia dan memberi kuasa kepada pemerintah untuk memberi takrifan mengenai apa itu ‘benar’ dan ‘palsu’.

“Di tangan pemerintah yang tidak bertanggungjawab, ia akan disalahgunakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

“Sekiranya ia tidak disalah guna sekalipun, tidakkah ahli-ahli Dewan Negara yang menyokong akta ini sedar bahawa sekiranya akta tersebut dilaksanakan, ramai ahli-ahli parti pembangkang, termasuklah pemimpin tertinggi mereka, akan dikenakan tindakan kerana menyebar berita tidak benar?”

Dewan Negara semalam menolak Rang Undang-Undang Antiberita Tidak Benar (Pemansuhan) 2018.

Perkara itu diumumkan Yang di-Pertua Dewan Negara Tan Sri S A Vigneswaran, selepas undi belah bahagian menyaksikan 28 anggota dewan tidak menyokong pemansuhan akta itu, sementara 21 lagi menyokong, manakala tiga yang lain memilih untuk tidak mengundi.

Mengulas lanjut, Syahredzan berkata, moratorium juga harus dikenakan ke atas undang-undang lain yang zalim dan bertentangan dengan Perlembagaan Persekutuan serta sedang dalam semakan seperti Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas)(SOSMA), Akta Hasutan, Akta Pencegahan Jenayah (POCA), dan Akta Pencegahan Keganasan (POTA).

Beliau turut menzahirkan harapan kepada kerajaan agar meneruskan usaha untuk memansuhkan akta tersebut walaupun terpaksa membentangkan semula RUU tersebut di Dewan Negara selepas setahun.

“Kerajaan mesti meneruskan usaha mendukung semula kebebasan asasi rakyat Malaysia yang telah dinafikan dan disekat oleh undang-undang yang digubal oleh kerajaan terdahulu, melalui reformasi institusi dan perundangan, walaupun menghadapi cabaran daripada pihak pembangkang,” ujarnya. – Roketkini.com